JDT terus ke pusingan ketiga Piala FA


JOHOR Darul Ta’zim (JDT) boleh menarik nafas lega apabila pasukan berpangkalan di selatan tanah air itu mendapat ‘bye’ dan terus ke pusingan ketiga Piala FA 2019. Keputusan itu memberi kelegaan kepada skuad kendalian Luciano Figueroa apabila terpaksa mengharungi jadual padat dengan saingan Liga Super selain memberi tumpuan kepada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Pada Majlis Undian Shopee Piala FA 2019 hari ini menyaksikan PKNS FC berpeluang membalas dendam atas kekalahan kepada Melaka United sebelum ini apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Shah Alam, nanti.
Selain itu, rata-rata pasukan Liga Super boleh dikatakan mendapat laluan mudah apabila masing-masing bertemu pasukan daripada Liga Perdana dan berstatus amatur.
Mengikut undia terbabit, Perak akan bertemu Negeri Sembilan di Ipoh dan Kedah pula bakal membuat perhitungan dengan Selangor United di gelanggang lawan.
Lima lagi pasukan dalam saingan utama bola sepak negara iaitu naib juara edisi lalu, Selangor, Petaling Jaya City (PJ City) dan FELDA United akan bertandang ke gelanggang lawan berdepan Kelantan, UITM FC, Kuching FA dan Ultimate FC.
PKNP FC berdepan pasukan yang mencatat kemenangan terbesar setakat ini dalam saingan Piala FA iaitu Batu Dua FC manakala Kuala Lumpur menanti cabaran Tun Razak FC.
Edisi terdahulu menyaksikan Pahang menundukkan Selangor 2-0 hasil jaringan Nor Azam Azih dan sepakan penalti Patrick Dos Santos Cruz.

Ulasan