Langkau ke kandungan utama

JDT teruja hadapi Kashima

KAPTEN JDT, Hariss Harun (kanan) dan jurulatih, Benjamin Mora

KAPTEN JDT, Hariss Harun (kanan) dan jurulatih, Benjamin Mora dalam sidang akhbar menjelang pertemuan menentang Kashima Antlers di Kashima, Jepun semalam. - Gambar Ihsan JOHOR SOUTHERN TIGERS

KUALA LUMPUR 3 MAC - WALAUPUN lawan mereka adalah juara bertahan, namun pendatang baharu Liga Juara-Juara Asia (ACL), Johor Darul Ta’zim (JDT) lebih teruja berbanding tertekan menjelang pertemuan menentang kelab Jepun itu dalam saingan pembukaan Kumpulan E esok.
Di atas kertas, Kashima mungkin pilihan untuk memenangi pertarungan di depan penyokong sendiri.
Begitupun, mereka juga berdepan masalah tersendiri seperti kehilangan bintang penyerang, Yuma Suzuki akibat kecederaan hamstring, selain belum mencatat kemenangan dalam dua aksi pertama Liga Jepun (Liga-J) musim ini untuk menghuni tangga ke-14.
Kashima dinobat sebagai juara buat kali pertama selepas mengalahkan wakil Iran, Persepolis 2-0 secara agregat, November lalu dan layak beraksi dalam edisi 2019 selepas mengetepikan kelab Australia, Newcastle Jets 4-1 pada pusingan playoff.
JDT pula turun beraksi de­ngan reputasi selaku juara Piala AFC 2015, juara Liga Super Malaysia lima tahun berturut-turut dan belum kalah dalam lima perlawanan domestik setakat ini.
“Saya fikir ia sa­ngat mengujakan, kami cukup teruja untuk menghadapi kempen Liga Juara-Juara buat kali pertama kerana ini adalah cabaran besar buat pasukan.
“Kami diundi de­ngan pasukan terbaik di Asia, jadi ini masa­nya untuk menguji keupayaan menentang pasukan terbaik. Ini peluang kami untuk memperbaiki pasukan.
“Kashima adalah juara bertahan, jadi ia cabaran yang hebat buat kami tetapi semua pemain JDT sudah bersedia untuk merasai pengalaman bersaing dengan pemain terbaik dalam bola sepak Asia,” kata kapten JDT, Hariss Harun.

Ulasan