JDT SENTIASA MENANG DI MATA PENYOKONG HARIMAU SELATAN!

JDT SENTIASA MENANG DI MATA PENYOKONG HARIMAU SELATAN!
Hari yang telah lama diimpikan sudah tiba, apabila inspirasi yang dahulunya hanya mimpi, akhirnya berjaya direalisasikan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor iaitu mengimplementasikan aspirasi dalam kancah cabaran Liga Juara-Juara AFC 2019 (ACL) yang menjadi misi utama Harimau Selatan pada musim ini.
“Minda yang biasa membincangkan tentang menang dan kalah. Minda yang hebat membincangkan tentang membina empayar dan warisan”
- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
DYAM Tunku Mahkota Johor telah menetapkan tanda aras ini sejak pertama kali memegang tampuk organisasi Harimau Selatan. Baginda berjanji akan menjadikan JDT sebagai sebuah kelab kecil yang mampu membuka mata dunia akan kewujudannya. DYAM Tunku Mahkota Johor juga pernah berikrar bahawasanya akan tiba suatu hari nanti, nama JDT akan berada sebaris dengan kelab-kelab elit yang telah lama mendominasi dan dipandang tinggi di benua Asia.
“Orang kata JDT bernasib baik, tetapi saya katakan tidak. Kita diberkati”
- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
DYAM Tunku Mahkota Johor juga sering mengingatkan seluruh ahli Keluarga JDT bahawa pencapaian gemilang yang digapai adalah hasil dari usaha, kepercayaan dan integrasi utuh. Keberkatan dari semangat itu, segala aura negatif dapat dibuang dari terus bersarang dalam tubuh dan minda. Kerana kuatnya ikatan itu juga, empayar Harimau Selatan sentiasa terletak nombor satu dan pasti akan terus maju.
“Pada saya, kemenangan hakiki adalah memperolehi apa yang tidak ada oleh orang lain”
- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Dengan keputusan mutakhir yang diperolehi pada aksi sulung kumpulan E Liga Juara-Juara AFC (ACL), ianya bukan menjadi ukuran atau sama sekali bukan satu pembaziran. Yang paling utama, JDT kini sudah berjaya mendapat pengalaman berharga apabila bersaing di kejohanan peringkat tertinggi benua Asia.
Kita harus berbangga dengan efikasi diri tahap tertinggi yang ditunjukkan oleh barisan kejurulatihan dan para pemain. Dengan aksi yang telah diterjemahkan pada perlawanan pertama di bumi "Matahari Terbit", harus diakui JDT memang berhak dan layak berada di tahap setinggi ini. Pastinya selepas ini Harimau Selatan tidak terus meratap malah akan terus lebih berusaha memberi saingan sengit dan tekanan kepada kelab-kelab besar yang bertanding kelak.
Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal, tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah. Kita boleh memberi seribu sebab mengapa kita tidak boleh mencapai matlamat, namun kita hanya memerlukan satu sebab sahaja kenapa kita boleh mencapai matlamat. Usaha, fokus dan keyakinan diri yang tinggi bakal membuatkan misi yang mustahil akan berubah menjadi tidak mustahil.
Malam ini JDT tewas dengan bermaruah. JDT berjaya memberi tentangan sengit sejak mula tiupan wisel tiupkan . Keseluruhan pejuang Harimau Selatan beraksi dengan prestasi menakjubkan hingga berjaya membolosi kubu kebal juara bertahan.
Akhir kata, pada malam ini JDT menang pada mata penyokong malah pada malam ini juga JDT berjaya menjahit mulut pengkritik, pemerhati, pembenci dan beberapa kelompok bersalasilah keturunan Jepun yang wujud sejak 1947 di Malaysia.
Biarlah mereka memandang sinis dan gembira meraikan kekalahan, namun penyokong Harimau Selatan harus sentiasa positif dan berada rapat dibelakang Harimau Selatan. Jangan rimas apabila dikelilingi oleh mereka yang membenci kerana secara dasarnya mereka sebenarnya terlalu kecewa pada diri sendiri dan masih terawang-awang tidak berpijak pada bumi yang nyata. Biarkan saja luncai terjun dengan labunya, jangan kita mudah rapuh jiwa.
Jadikan kekalahan ini sebagai satu titik permulaan kebangkitan! Terus berjuang Merah Biruku! Kita sudah berjaya mengemparkan Asia!
“Adakala langkah kecil ke arah jalan yang betul akhirnya menjadi langkah terbesar dalam menentu kehidupan anda”
- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan