PEMAIN Pasukan Gyeongnam Fc, Tae Hwi menjaringkan gol ketika menentang JDT di Stadium Tan Sri Dato' Hassan Yunos, Larkin, hari ini.
JOHOR BAHRU 12 Mac - Johor Darul Ta’zim (JDT) bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC 1-1, sekali gus mengutip mata pertama mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Membuat kemunculan sulung dalam pertandingan berprestij Asia itu, Harimau Selatan berjaya mengekang naib juara Liga 1 Korea, Gyeongnam 0-0 sepanjang babak pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Pada minit ke-13, Safawi Rasid hampir menembusi gawang pelawat apabila rembatan derasnya dari luar kotak penalti namun berjaya ditepis keluar penjaga gawang lawan.
Safawi sekali lagi mempunyai peluang untuk menjaringkan gol menerusi serangan balas pantas pada minit ke-25 namun penjaga gol Lee Bum Soo sekali lagi menjadi penghalang apabila menumbuk keluar percubaan tersebut.
Keampuhan benteng pertahanan JDT yang bijak melakukan perangkap ofsaid berjaya mengekang kemaraan jentera serangan kelab Korea itu daripada melakukan serangan dan percubaan tepat ke arah gawang.
Bersambung babak kedua, Gyeongnam mula menunjukkan taring dengan memperkemaskan bahagian serangan menerusi gerakan Luc Cataignos yang melorongkan bola kepada Kim Seung Joon, namun berjaya dihidu Mohd. Izham Tarmizi yang meluru keluar menangkap bola.
Kelab Korea Selatan itu akhirnya berjaya mencipta jaringan pada minit ke-51 menerusi tandukan Tae Hwi yang gagal diselamatkan Mohd. Izham.
Serangan balas yang dilakukan JDT setelah ketinggalan membuahkan hasil apabila sepakan sudut Safawi terkena tangan pertahanan lawan, Song Ju Hun dan pengadil bertindak menghadiahkan pasukan tuan rumah sepakan penalti.
Diogo Luis Santo mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-67 bagi menyamakan kedudukan.
Lima minit berselang, JDT hampir menambahkan jaringan namun percubaan berganda Safawi dan Gonzalo Cabrera hanya menggegarkan tiang dan palang gol lawan.
Diogo dan Safawi masing-masing mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol kemenangan buat JDT namun ketumpulan penyudah menyaksikan keputusan kekal ke wisel penamat. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan