Langkau ke kandungan utama

JDT perlu fokus - Mora

BENJAMIN MORA kanan dan kapten Harimau Selatan,Hariss Harun dalam

BENJAMIN MORA kanan dan kapten Harimau Selatan,Hariss Harun dalam sidang akhbar menjelang perlawanan ACL 2019 JDT dengan Gyeongnam FC di sebuah hotel di Johor Bahru, hari ini.- BERNAMA

JOHOR BAHRU 11 Mac - Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora enggan terganggu tumpuan dek kerana jangkaan orang ramai terhadap pasukan itu, lebih-lebih lagi ketika ia bakal menerima kunjungan kelab Korea, Gyeongnam FC bagi aksi kedua Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, malam esok.
“Saya tahu jangkaan orang ramai tinggi sejak kami bertemu dengan kelab Jepun (Kashima Antlers), tetapi saya rasakan pasukan telah memberikan tentangan yang terbaik dan kami gembira dengan keputusan dicapai.
“Tetapi esok, ia adalah mengenai perlawanan yang berlainan. Kami perlu kekal fokus supaya dapat bermain sebagai satu pasukan dan keluarga.
“Jika ini dapat dilakukan maka saya pasti, semuanya akan baik-baik sahaja, esok,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan di sini, hari ini.
Mora berkata Gyeongnam adalah kelab seperti JDT - yang baharu menyertai ACL buat pertama kali namun beliau tidak memandang rendah kemampuan lawannya dalam mengawal permainan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Gyeongnam, Kim Jongpu berkata JDT adalah pasukan yang cemerlang buatnya kerana dapat memberikan saingan sengit ketika perlawanan pertama peringkat kumpulan ACL.
“Sebenarnya saya juga tahu mereka telah membuat banyak pelaburan untuk mendapatkan pemain berkualiti. Oleh itu, saya amat yakin perlawanan esok tidak akan berlangsung dengan mudah,” katanya.
Perlawanan pada 8.45 malam esok merupakan peluang untuk JDT mencatat kemenangan pertama setelah tewas tipis 1-2 kepada Kashima Antlers di Jepun pada 5 Mac lepas.- BERNAMA

Ulasan