JDT PASUKAN CEMERLANG – KIM JONGPU
Benjamin Mora, ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT tidak mahu terganggu tumpuannya dengan jangkaan orang ramai terhadap pasukan itu, lebih-lebih lagi ketika ia bakal menerima kunjungan kelab Korea, Gyeongnam FC bagi aksi kedua Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, malam esok.
“Saya tahu jangkaan orang ramai tinggi sejak kami bertemu dengan kelab Jepun (Kashima Antlers), tetapi saya rasakan pasukan telah memberikan tentangan yang terbaik dan kami gembira dengan keputusan dicapai.
“Tetapi esok, ia adalah mengenai perlawanan yang berlainan. Kami perlu kekal fokus supaya dapat bermain sebagai satu pasukan dan keluarga.
“Jika ini dapat dilakukan maka saya pasti, semuanya akan baik-baik sahaja, esok,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan di sini, hari ini.
Benjamin Mora turut berkata Gyeongnam adalah sebuah kelab seperti JDT – yang baharu menyertai ACL buat pertama kali namun beliau tidak memandang rendah kemampuan lawannya dalam mengawal permainan. Pada perlawanan pertama, Gyeongnam FC berjaya mengikat gergasi bola sepak Asia, Shandong Luneng 2-2 di tempat sendiri.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Gyeongnam, Kim Jongpu berkata bagi dirinya, JDT adalah pasukan yang cemerlang kerana dapat memberikan saingan sengit ketika perlawanan pertama peringkat kumpulan ACL.
“Sebenarnya saya juga tahu mereka telah membuat banyak pelaburan untuk mendapatkan pemain berkualiti. Oleh itu, saya amat yakin perlawanan esok tidak akan berlangsung dengan mudah,” katanya.
Perlawanan pada 8.45 malam esok merupakan peluang untuk JDT mencatat kemenangan pertama setelah tewas tipis 1-2 kepada Kashima Antlers di Jepun pada 5 Mac lepas.
Sumber : Utusan Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan