KUALA LUMPUR 5 MAC - Johor Darul Ta'zim (JDT) hampir melakar kejutan besar dalam penampilan sulung Liga Juara-Juara Asia (ACL), namun kebangkitan yang cuba dilakukan pada 10 minit terakhir sudah terlewat apabila tewas 1-2 kepada juara bertahan, Kashima Antlers pada aksi pembukaan Kumpulan E hari ini.
Selepas membenarkan tuan rumah menguasai babak pertama, Harimau Selatan melawan menuju ke penghujung permainan dengan merapatkan jurang menerusi Diogo Luis Santo pada minit ke-80.
Akhyar Rashid juga hampir menggegar gawang lawan menerusi rembatan lencong pada minit terakhir, namun ia sekadar melewati palang.
Kashima akhirnya terselamat daripada kebangkitan lewat minit JDT, dan jaringan Taiki Hirato (minit 43), diikuti Serginho (56) mencukupi untuk memastikan tiga mata berharga diraih.
Bagi JDT, biarpun tewas, pengalaman sulung beraksi di pentas ACL pasti akan menjadi bekalan terbaik sebelum menerima kunjungan kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC di Larkin, Selasa depan.
Hari ini, Gyeongnam memulakan kempen dengan mengikat kelab China, Shandong Luneng 2-2 di Changwon, Korea Selatan.
Dalam saingan di Kashima, turun beraksi dalam cuaca sejuk di depan ribuan penyokong lawan tidak terlalu menjejaskan JDT yang garang seawal minit kesembilan menerusi percubaan akrobatik Diogo tetapi tendangannya dinafikan penjaga gol, Kwoun Sun-Tae.
Kashima juga mensia-siakan peluang terbaik untuk merobek gawang Harimau Selatan apabila sepakan penalti Serginho pada minit ke-15 diselamatkan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.
JDT memaksa Kashima untuk memperlahankan permainan mereka dan pada minit ke-35, La’Vere Corbin-Ong hampir menjaringkan gol bagaimanapun tandukannya tidak menemui sasaran.
Bagaimanapun, gawang JDT akhirnya bolos apabila rembatan Hirato dari luar kotak penalti memperdayakan Farizal.
Serginho kemudian menebus kesilapan awalnya apabila menggandakan jaringan di minit ke-56 menerusi rembatan kaki kiri.
Ulasan
Catat Ulasan