JDT lupakan keletihan


BIARPUN letih selepas mengharungi Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Kashima Antlers di Jepun, Johor Darul Ta'zim (JDT) tetap fokus untuk menguasai takhta liga selepas membenam PKNP FC 3-0 pada aksi Liga Super, malam tadi.
Kemenangan skuad Harimau Selatan itu melegakan pengurus pasukan Luciano Figueroa yang berpendapat komitmen tinggi setiap pemain membolehkan mereka menang, walaupun selepas menempuh perjalanan jauh beberapa hari lalu.
"Itulah karektor yang kami mahu daripada setiap pemain kerana mereka jelas mengetepikan faktor keletihan sebaliknya beraksi dengan penuh disiplin untuk memastikan kemenangan di laman sendiri.
"Saya akui pemain berdepan kesukaran apabila beraksi pada saingan ACL dan kemudian pulang ke Johor Bahru untuk menentang PKNP FC.
Dalam tempoh yang singkat pemain memberi kerjasama 100 peratus untuk beraksi pada saingan liga.
"Tiga mata yang diraih malam ini (malam tadi) amat penting kerana kami kembali di tangga teratas liga dan saya berterima kasih kepada pemain yang merealisasikan kemenangan pada perlawanan itu," katanya.
Mengulas penampilan pertama Akhyar Rashid pada perlawanan itu, Figueroa yang sinomin dengan panggilan Lucho dikalangan pemain skuad Harimau Selatan tampak berpuas hati dengan persembahan pemain muda yang kerap memberi tekanan terhadap benteng skuad kendalian Abu Bakar Fadzim.



Pemain JDT, Muhamad Akhyar Abdul Rashid (kiri) diasak pemain PKNP FC, Filemon Anyie Standly dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Katanya, bukan sahaja Akhyar yang menyerlah malah kelibat Nazmi Faiz Mansor bergandingan bersama Leandro Velazquez sering menjana gerakan berbahaya dengan umpanan bola yang memberi ruang kepada Gonzalo Cabrera dan Diogo Luis Santo mengasak benteng PKNP FC.
"Akhyar harus lebih agresif untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan JDT, ini penampilan pertama dia bersama kesebelasan utama dan Nazmi pula memainkan peranan penting di posisi tengah.
"Apa yang penting setiap pemain bergerak dengan umpanan bola tepat malah kurang melakukan kesilapan dan saya berharap momentum itu berterusan kerana selepas ini kami akan menyambung aksi ACL menentang kelab dari Korea Selatan," katanya.

Ulasan