JDT ikat Gyeongnam di Larkin



PEMAIN JDT, Diogo Luis Santo berebut bola dengan pemain Gyeognam FC, Lee Kwang Jin (depan) ketika perlawanan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) bangkit merakam keputusan seri 1-1 menentang kelab Korea Selatan Gyeongnam FC pada aksi Kumpulan E saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.
Ia adalah mata sulung buat skuad Harimau Selatan yang pertama kali bersaing dalam kancah kelab-kelab berprestij Asia tatkala menentang naib juara Liga 1 Korea (K 1 League) musim lalu.
Malang buat penjaga gol, Farizal Marlias yang terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan ketika sesi panas badan dan memaksa jurulatih Benjamin Mora meletakkan Izham Tarmizi Roslan selaku penjaga gol utama mengharungi perlawanan itu.
Sebaik aksi bermula, skuad Harimau Selatan tampak garang melakukan beberapa serangan dengan gerakan daripada pemain sayap Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid bagi membantu penyerang Diogo.
Percubaan awal anak didik Mora hadir pada minit ke-13 selepas bola umpanan Luis Santo menyaksikan Safawi yang tidak dikawal melakukan sepakan lencong ke penjuru kanan gol memaksa penjaga gol, Lee Bum-soo merebahkan badan untuk menepis bola keluar.
Asakan berterusan tuan rumah nyata mengundang cemas buat skuad kendalian Kim Jong-pu tatkala aksi memasuki minit ke-24 selepas bola sepakan lintang S Kunanlan disambar Diogo yang sempat melakukan rembatan libas namun bola melepasi palang gol.
Ketika aksi memasuki minit ke-34, sekali lagi Mora terpaksa melakukan rombakan selepas kehilangan Kunanlan yang mengalami kecederaan dan posisi bek kanan diganti oleh Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham. 
Bersambung babak kedua, pelawat mula meningkatkan tempo permainan dan memecah kebuntuan pada minit ke-52  menerusi Kwak Tae-hwi yang menanduk bola sepakan sudut Lee Yeong-jae.
Tuan rumah akhirnya menyamakan kedudukan apabila sepakan sudut Safawi terkena tangan Song Ju-hun dan pengadil perlawanan dari Iraq, Mohanad Qasim Eesee Sarray tidak teragak-agak memberi sepakan penalti pada minit ke-67 yang disempurnakan Diogo.
Sepatutnya gol kedua menjelma buat JDT namun hasrat itu tidak kesampaian apabila bola rembatan Safawi singgah di tiang kanan gol dan rembatan susulan Cabrera terkena palang gol.

Ulasan