Langkau ke kandungan utama

JDT gah kuasai tahkta Liga Super

DIOGO (kanan) meraikan jaringan dengan unik bersama rakan sepasukan

DIOGO (kanan) meraikan jaringan dengan unik bersama rakan sepasukan ketika JDT menewaskan PKNP FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin kelmarin.
JUARA Liga Super lima kali, Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali menguasai saingan musim ini apabila merampas kedudukan takhta liga daripada Pahang apabila mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin.
Skuad Harimau Selatan tampil penuh bergaya apabila membenam pasukan pelawat 3-0 selepas berhempas pulas selama 90 minit termasuk waktu kecederaan.
JDT kini menghuni tangga teratas liga dengan mengutip 16 mata hasil lima kemenangan dan satu seri.
Pahang pula jatuh ke anak tangga kedua apabila mengumpul 14 mata selepas menewaskan Kedah yang kini di kedudukan ketiga bersama 11 mata.
Pengurus pasukan, Luciano Figueroa memuji aksi yang dipamerkan anak-anak buahnya apabila beraksi cemerlang sehingga berjaya mengutip mata penuh.
“Biarpun baru sahaja pulang dari Jepun selepas menentang Kashima Antlers pada Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Selasa lalu, namun semangat juang para pemain sangat baik.
“Skuad Harimau Selatan tetap beraksi dengan baik meskipun terdahulu kami tewas 1-2 ketika menentang Kashima Antlers.
“Kita gembira dengan aksi ini apabila menang besar 3-0 ke atas pasukan lawan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu malam kelmarin.
Pada aksi itu, pemain tengah JDT, Leandro Sebastian terlebih dahulu meletakkan pasukan Harimau Selatan di depan apabila meledakkan gol pembukaan perlawanan pada minit ke-26.
Tersentak dengan jari­ngan itu, pasukan pelawat melakukan serangan balas bagi mendapatkan gol penyamaan, namun usaha mereka tidak membuahkan hasil.
Kesilapan pemain pertahanan PKNP FC, Ama­ni Manual Aguinaldo menjatuhkan Diogo Luis dalam kotak penalti pada minit ke-35 mengundang padah apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Diogo.
Memasuki minit ke-41, JDT sekali lagi dihidang­kan dengan sepakan pe­nalti apabila penjaga gol PKNP FC, Shafiq Afifi Suhaimi menjatuhkan pemain JDT.
Pemain import, Gonzalo Cabrera tidak mensia-siakan peluang apabila menyempurnakan sepakan sekali gus menghadiahkan gol ketiga buat JDT.

Ulasan