TUNKU ISMAIL dibawa melawat kemudahan yang terdapat di Pusat Latihan Juventus di Turin, Itali. Ihsan JOHOR SOUTHERN TIGERS
KUALA LUMPUR 9 Mac – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengorak langkah untuk mengukuhkan kedudukan sebagai gergasi bola sepak tanah air apabila bakal menjalin kerjasama dengan juara Itali, Juventus.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam Facebook HRH Crown Prince of Johor berkata, Harimau Selatan kini sedang mengadakan rundingan dengan juara Eropah dua kali itu mengenai bentuk kerjasama yang boleh dijalinkan.
Kata Tunku Mahkota Johor itu, perkara tersebut dibincangkan dalam pertemuan dengan presiden Presiden Juventus, Andrea Agnelli di Royal Park I Roveri, Fiano, Itali semalam.
“JDT dan Juventus telah bersetuju untuk bekerjasama dan Harimau Selatan akan menghantar satu delegasi ke Turin beberapa minggu akan datang bagi membincangkan lebih lanjut mengenai kolaborasi yang akan dijalinkan.
“JDT cukup berminat untuk memperluaskan wawasan mereka ke Itali serta mendapatkan pandangan bernilai dari kelab paling berjaya di Itali. Juventus telah memenangi 34 kejuaraan Serie A,” tulisnya.
Tunku Ismail juga berkesempatan melawat pusat latihan pasukan utama Juventus di Turin merangkumi bilik persalinan, auditorium, pusat rawatan dan pemulihan, gimnasium dan padang.
Beliau juga menerima undangan menonton aksi Serie A antara Juventus dan Udinese di Stadium Allianz, Turin yang berkesudahan skuad Old Lady menang 4-1.
Dalam perkembangan berkaitan, JDT mendapat suntikan semangat selepas penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo mengucapkan selamat maju jaya kepada Harimau Selatan dalam mengharungi Liga Juara-Juara Asia dan Liga Malaysia.
Pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali itu menyatakan kata-kata semangat tersebut menerusi video durasi enam saat yang dimuat naik pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Instagram miliknya.
“Kepada semua pemain JDT, lakukan yang terbaik dan selamat berjaya,” kata bekas pemain Real Madrid dan Manchester United itu.
Ulasan
Catat Ulasan