JDT BERLEPAS KE JEPUN DENGAN SATU HARAPAN



JDT BERLEPAS KE JEPUN DENGAN SATU HARAPAN

JDT Berlepas Ke Jepun Dengan Satu Harapan

Dua tahun yang lepas pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berlepas ke Jepun mengharungi saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) ketika itu menentang Gamba Osaka. Tetapi situasi ketika itu amat jauh berbeza kerana ia hanya satu perlawanan di peringkat playoff.
Tiada tekanan langsung ketika itu kerana apa yang lebih penting adalah pengalaman bermain dengan kelab gergasi Asia. Hasilnya JDT berjaya menimba pengalaman yang berguna dan satu pendedahan yang baik untuk setiap pemain JDT, walaupun tewas 0-3 di tangan Gamba Osaka di bawah cuaca sejuk.
Keputusan diletakkan nombor dua dan yang penting, perlawanan itu menjadi kayu ukur dan permulaan untuk perjalanan hala tuju akan datang.
Tahun ini sekali lagi pasukan JDT ke Jepun namun kali ini bertemu pasukan lain dan dalam situasi yang amat berbeza sekali. Kali ini bertemu satu lagi kelab dari Jepun, kelab yang baharu sahaja menjuarai ACL 2018 yang lepas. 
Kashima Antlers, pasukan pertama yang akan melayan JDT dalam saingan ACL 2019 di gelanggang mereka sendiri di peringkat kumpulan. Perlawanan pertama bertemu kelab besar dan bermain di tempat lawan adalah satu cabaran yang tinggi yang harus ditempuhi JDT.
 Dua hari lagi, pada 05 Mac 2018, satu perlawanan yang dianggap sukar buat JDT, namun JDT tidak semudah itu tunduk sebelum melawan sehingga wisel penamat. 
Kedua-dua pasukan berada dalam Kumpulan E bersama Gyeongnam FC dan Shandong Luneng.
Skuad JDT telah berlepas ke Jepun semalam dengan barisan pemain yang diharapkan dapat menyerap segala tekanan dari Kashima Antlers yang merupakan pasukan yang telah mara ke separuh akhir FIFA World Club 2018. Mereka terkandas dan tewas di tangan Real Madrid.
Barisan kejurulatihan sudah tentu telah bersedia dengan percaturan terbaik bertemu Kashima Antlers.
Luciano Figueroa mungkin menghadapi sedikit masalah apabila beberapa pemain mengalami kecederaan semasa perlawanan menentang Selangor Jumaat lepas namun tiada makluman ada yang serious.
Dari segi persediaan, JDT secara umumnya sudah bersedia kerana mereka sudah mengharungi lima perlawanan di peringkat Liga Super Malaysia. Ia mungkin satu persiapan yang cukup dari segi pemanas badan dan pencarian keserasian antara pemain.
Dan dijangkakan juga barisan kejurulatihan sudah mempunyai barisan kesebelasan utama terbaik untuk bersaing di peringkat kelab tertinggi Asia.
Apa keputusan sekali pun kita harus terima dengan hati terbuka dan positif. 
Selamat maju jaya kepada JDT.
05/03/2019 : Kashima Antlers vs JDT – 6.00 petang (Waktu Johor)

Ulasan