JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) akan berusaha memberi persembahan terbaik walaupun sedar kepayahan yang akan ditempuhi apabila melayani kunjungan kelab dari Korea Selatan, Gyeongnam FC pada saingan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
Jurulatih skuad Harimau Selatan Benjamin Mora, berkata reputasi kelab yang beraksi pada saingan Liga 1 Korea (K League 1) tidak dinafikan dibarisi pemain terbaik yang mampu menidakkan usaha JDT melakar kemenangan pertama pada saingan kelab-kelab elit Asia.
Katanya, persiapan untuk aksi kedua menentang kelab dari Korea Selatan tampak berjalan lancar namun kelibat Natxo Insa sama ada diturunkan atau sebaliknya bergantung kepada sesi latihan rasmi dan berharap pemain itu mampu mengatasi masalah kecederaan yang dialami sejak 2 Februari lalu.
"Semuanya bergantung kepada keputusan pegawai perubatan pasukan dan kami juga akan beri dia peluang berlatih dan melihat sendiri keadaan kecergasan pemain itu sama ada dia boleh beraksi atau bermula di bangku simpanan.
"Natxo sudah menjalani latihan bersaman pasukan dan tampak begitu bersungguh-sungguh untuk berada di tahap kecergasan terbaik dan saya tidak nafikan kelibatnya amat penting dalam pasukan kerana dia memainkan peranan penting di posisi tengah.
"Kita tengok dulu dia boleh melepasi tahap kecergasan atau tidak dan jika semuanya berjalan lancar mungkin dia akan diturunkan sama ada pada awal permainan atau pada aksi babak kedua. Kita akan putuskan nanti," katanya.
Ditanya mengenai kekuatan Gyeongnam FC, Mora mengakui pasukan itu yang tampil pertama kali dalam saingan ACL tampak tidak melakukan perubahan ketara dalam skuad itu dan mungkin akan mempratikkan formasi permainan yang sama ketika seri dengan kelab dari China, Shandong Luneng FC 2-2.
Katannya, skuad kendalian Kim Jong-boo kerap beraksi dengan corak permainan pantas menerusi gerakan di posisi sayap kiri dan kanan dan harus mengawasi kelicikan Kim Seung-jun yang menjadi tunjang buat pasukan itu mencipta jaringan.
"Pemain nombor 10 (Kim Seung-jun) perlu disekat dan tidak boleh dia bebas bergerak kerana 80 peratus gol yang dijaringkan pasukan itu berpunca daripada pemain itu. Malah hantaran lintang pemain pasukan itu juga boleh mengundang bahaya buat JDT.
"Jadi kita kena fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan tidak boleh leka walaupun sesaat dan saya berharap pemain tidak melakukan kesilapan mudah yang memudahkan pasukan lawan menghukum kita dengan jaringan," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan