JDT belasah Selangor, rampas takhta liga



PEMAIN JDT, Velazquez Leandro Sebastian meraikan gol pertama JDT dalam perlawanan Liga Super 2019 menentang pasukan Selangor di Stadium Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

SHAH ALAM: Johor Darul Ta'zim (JDT) merampas kedudukan teratas Liga Super selepas menumpaskan Selangor 4-2 di Stadium Shah Alam, di sini, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengumpul 13 mata selepas lima perlawanan, tiga mata di depan Kedah yang akan berdepan PKNS FC di Stadium Darul Aman, esok.
Keputusan itu pasti perit bagi Selangor yang kini belum mengecapi sebarang kemenangan dan hanya mengumpul tiga mata selepas lima perlawanan musim ini.
Turun dengan status juara bertahan, JDT hanya memerlukan 14 minit untuk meledak dua gol hasil jaringan Velazquez Leandro pada minit ketujuh dan Diogo Luis Santo minit ke-14.

Selangor terpaksa menunggu hingga minit ke-33 untuk merapatkan jurang gol menerusi rembatan jarak jauh Endrick Dos Santos.
PEMAIN JDT, La Vere Lawrence Corbin Ong diasak pemain Selangor, Muhammad SyahmiSafari dalam aksi perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Shah Alam. - Foto Sairien Nafis
Hanya tujuh minit kemudian, Gonzalo Cabrera kembali meletakkan JDT pada kedudukan selesa apabila meledak gol ketiga selepas rembatannya di dalam kotak penalti gagal diselamatkan Khairul Azhan khalid.
Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Rufino Segovia meledak gol kedua Selangor selepas menanduk masuk bola hantaran Faiz Nasir pada masa kecederaan babak pertama.
Leandro menjadikan kedudukan 4-2 buat JDT apabila meledak mudah menolak masuk bola di depan pintu gol Selangor selepas Khairul Azhan menampan rembatan deras Cabrera pada minit ke-68 dan keputusan itu kekal hingga tamat permainan.

Ulasan