KUALA LUMPUR: "Kita jangan takut dengan Johor Darul Ta'zim (JDT)!", kata pengendali Selangor, B Sathianathan menjelang perlawanan di Stadium Shah Alam, malam ini.
Sekalipun sedar anak buahnya bakal berdepan tugas sukar untuk menjinakkan penyandang juara Liga Super itu, namun Sathianathan menegaskan peningkatan permainan yang ditunjukkan khususnya pada aksi bertemu Pahang dapat dijadikan azimat untuk mereka melakar kejutan ke atas pasukan Harimau Selatan itu.
Tidak menafikan betapa JDT adalah pasukan yang terkuat di negara ini dengan dia menghormati kemampuan skuad bimbingan Luciano Figueroa itu namun The Red Giants perlu memburu kemenangan selepas gagal meraih mata penuh dalam empat perlawanan diharungi setakat ini.
"JDT adalah sebuah pasukan yang serba lengkap, pemain import dan pemain tempatan yang berkualiti selain memiliki semua kemudahan. Kita lihat mereka sukar digugat dalam tiga perlawanan pertama mereka musim ini.
"Saya tahu ini bukanlah perkara yang mudah tetapi JDT pernah tewas pada aksi di gelanggang lawan. Jadi saya harapkan pemain dapat memberikan tekanan kepada mereka namun tekanan sahaja tidak cukup kerana mereka memiliki skuad yang berkualiti.
"Kita menghormati kekuatan JDT tetapi kita jangan takut untuk bermain dengan mereka. Aksi menentang Pahang sudah cukup baik namun kita perlu jadi lebih baik untuk menentang JDT," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang SUK, kelmarin.
Pada masa sama, Sathianathan mengakui pemainnya kini berada dalam tekanan selepas perlu mengharungi dua aksi bertemu gergasi bola sepak tempatan berturut-turut di mana mereka melayan kunjungan JDT selepas berkunjung ke Kuantan untuk bertemu Pahang, minggu lalu.
Namun, bekas pengendali kebangsaan itu mengharapkan pemainnya dapat menunjukkan corak permainan yang agresif dan bertenaga seperti yang ditunjukkan kepada bertemu Pahang apabila menentang JDT, malam ini.
"Kemungkinan untuk meraih tiga mata pertama itu memang ada tetapi ia harus dijelmakan di atas padang. Saya mahu pemain memberikan 100 peratus komitmen dan jika bernasib baik, kita boleh dapatkan keputusan yang memihak kepada kita.
"Saya berpuas hati dengan peningkatan pada aksi minggu lalu dan itulah yang saya mahu mereka tunjukkan dalam setiap perlawanan liga selepas ini," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan