BIARPUN terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat bermula Mac ini, penyandang juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan untuk mengambil mudah perlawanan menentang Selangor malam ini.
Pengendalinya, Luciano Figueroa berkata, beliau mahu anak buahnya terus fokus untuk berada di tangga teratas liga dan bakal memastikan persembahan terbaik dipamerkan para pemain pada aksi di Stadium Shah Alam nanti.
“Selepas perlawanan bertemu pasukan Selangor, kami akan bertolak ke Jepun untuk perlawanan peringkat kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 menentang Kashima Antlers pada 8 Mac ini.
“Bagaimanapun, buat masa ini, kami mahu memberi tumpuan sepenuhnya untuk perlawanan bertemu pasukan Selangor dan selepas itu barulah kami akan fokus untuk bertemu Jepun,” katanya.
Mengulas mengenai keadaan fizikal beberapa pemain utama, Figueroa memberitahu, beberapa pemain yang mengalami kecederaan kian pulih dan bersedia mengharungi perlawanan seterusnya menentang Selangor nanti.
“Mengenai penyerang, Leandro Velazquez, dia mengalami sedikit kecederaan dan sebab itulah saya tidak membenarkan dia bermain pada perlawanan menentang Melaka tempoh hari.
“Bagaimanapun, kecederaannya semakin pulih dan dijangka dapat beraksi menentang Selangor. Keadaan sama juga bagi Natxo Insa yang menunjukkan perkembangan positif. Kecederaannya juga semakin pulih.
“Dia (Natxo) juga telah kembali ke sesi latihan dan dijangka dapat beraksi pada di Shah Alam nanti,” katanya.
Rekod pertemuan JDT dan Selangor pada dua musim iaitu 2017 dan 2018 menunjukkan skuad Harimau Selatan masih belum tunduk kepada Gergasi Merah walaupun kedua-dua pasukan hanya mampu terikat seri 1-1 pada aksi terakhir sebelum ini.
Ulasan
Catat Ulasan