- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Misi pasukan dari Korea Selatan, Gyeongnam FC untuk meraih 3 mata penuh dalam aksi kedua Liga Juara-Juara AFC (ACL) peringkat Kumpulan E menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak kesampaian dan terpaksa berpuas hati dengan mengutip satu mata di Stadium Larkin.
Ketua jurulatih, Kim Jong-boo juga akur dengan aksi cemerlang Harimau Selatan yang mendominasi hampir keseluruhan perlawanan disamping turut meluahkan ketidakpuasan hati terhadap persembahan anak buahnya terutama di bahagian tengah.
Pengendali berusia 54 tahun itu memberikan alasan kepadatan jadual perlawanan dengan mengharungi aksi liga bertemu Incheon United pada sabtu (9hb Mac) dan JDT pada selasa (12hb Mac) telah menyebabkan pemain-pemain pasukan naib juara K-League 2018 mengalami keletihan. Tambahan pula, perjalanan di antara Korea dan Malaysia yang memakan masa 13 jam turut menyumbang kepada aksi longlai pada dua hari lalu.
“Memang kami datang ke sini (Larkin) untuk mencari tiga mata. Tetapi kami terpaksa mengharungi aksi liga di Korea yang menyebabkan pemain utama saya mengalami kecederaan malah pemain juga tampak keletihan.
“Kami juga terpaksa menempuh perjalanan yang jauh yang merupakan faktor utama pemain letih malah dalam perlawanan itu bahagian tengah kami tidak berfungsi dengan baik dan sering hilang posisi yang memboleh pemain JDT menguasai posisi itu.
“Saya tidak berpuas hati dengan keputusan seri 1-1. Apapun saya akui JDT mempamerkan aksi terbaik dan kami tidak dibarisi pemain terbaik untuk mengimbangi kekuatan pasukan itu kerana barisan pemain saya tidak beraksi 100 peratus,” katanya.
Kepincangan di bahagian tengah jelas menyebabkan Gyeongnam FC gagal menyaingi JDT dalam perlawanan tersebut. Pada masa yang sama, beliau tidak mahu mengulas mengenai insiden yang menyebabkan pasukan lawan mendapat sepakan penalti dan akan menilai perkara berkenaan bersama barisan kejurulatihan beliau selepas ini.
“Kami kehilangan Takahiro Kunimoto yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan dan Jordon Mutch tampak keseorangan di posisi tengah dan dia tidak dapat memberi persembahan terbaik tatkala kepenatan dan itulah punca kami tidak beraksi dengan baik. Mengenai sepakan penalti yang diberikan kepada JDT, saya tidak mahu komen lebih lanjut. Biar saya tengok rakaman video dulu,” katanya lagi.
Foto Kredit: Gyeongnam FC
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Ulasan
Catat Ulasan