Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali kesepuluh semalam telah mencapai keputusan terhadap beberapa kes penggantungan pemain pasukan Liga Super dan Liga Premier.
Antara pemain yang berdepan hukuman penggantungan perlawanan tersebut ialah tonggak pertahanan Kedah, Renan Da Silva Alves akibat daripada tindakannya yang didapati berkelakuan ganas dengan menghentak kepalanya ke atas kepala pemain pasukan PKNS FC, Muhamad Faizat Ghazali ketika perlawanan Liga Super pada 2 Mac lalu.
Renan disahkan menjalani hukuman penggantungan dua perlawanan iaitu ketika menentang Pahang pada 8 Mac lalu dan berdepan JDT pada hari jumaat ini sekaligus menutup spekulasi tempoh penggantungan Renan oleh media massa dan peminat kebelakangan ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, kesalahan itu telah melanggar Artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM dan diberi amaran keras serta hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.
Keputusan ini juga bermakna Renan Alves akan kembali beraksi bersama skuad hijau kuning dalam kancah Shopee Piala FA Pusingan kedua bertemu Selangor United 3 April, Rabu ini di Stadium Darul Aman.
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) turut memaklumkan tugas benteng tengah sepanjang ketiadaan Alves diambil alih oleh pemain senior, Khairul Helmi Johari yang beraksi baik ketika berdepan Pahang.
“Sepanjang cuti Liga, Alves turut disenaraikan dalam beberapa perlawanan dalam siri Jelajah Lembah Klang dan dilihat bersemangat tinggi untuk kembali beraksi dalam aksi Liga Malaysia seterusnya.
Kedah kini menduduki tangga ke-3 Liga Super mengumpul 11 mata dan perlu mencari formula berkesan pada benteng pertahanan apabila melayan kunjungan pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Alor Setar Jumaat ini.
Ulasan
Catat Ulasan