SAFAWI RASID (kiri) menjaringkan gol tunggal JDT ketika menentang kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin. Gambar JOHOR SOUTHERN TIGERS
ALOR SETAR 30 Mac – Pengurus Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa terkilan selepas anak buahnya gagal melakar kemenangan meskipun mempunyai rentetan peluang menjaringkan gol dalam aksi Liga Super menentang Kedah di Stadium Darul Aman di sini semalam.
Luciano mahu pemain melupakan keputusan itu dan meningkatkan prestasi dalam aksi seterusnya bagi melebarkan jurang sebagai pendahulu liga.
"Saya rasa kita perlu menang malam ini setelah mencipta banyak peluang untuk mendapatkan gol. Kami dapat mengawal bola dengan baik namun tidak dapat menghasilkan gol, inilah bola sepak.
"Walaupun tidak mencapai kemenangan, saya tetap berpuas hati dengan satu mata yang kami peroleh dan kami masih berada di puncak liga.
"Apa yang perlu sekarang adalah misi untuk pertingkatkan kekuatan dan corak permainan kita pada perlawanan seterusnya, dan pada masa sama mengelak untuk melakukan kesilapan," katanya dalam sidang akhbar semalam.
Dalam aksi tersebut harapam JDT untuk membenam Kedah tidak kesampaian apabila dua seteru utama itu sekadar seri 1-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman.
JDT bagaimanapun bermula garang apabila mendahului Kedah seawal minit ke-10 menerusi sepakan percuma Safawi Rasid dari jarak 25 meter yang sama sekali tidak dapat diselamatkan oleh penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal.
Stadium Darul Aman yang dipenuhi lebih 25,000 penyokong bergegar menyambut jaringan penyamaan skuad Lang Merah pada minit ke-30 menerusi tandukan Rodriguez.
Tambah Luciano, JDT berdepan tugas sukar apabila dua pemainnya dihimpit isu kecederaan baru-baru ini selepas pulang daripada mewakili skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.
"Safawi Rasid mengalami kesakitan pada kakinya sementara Syamer Kutty Abba juga turut mengalami kecederaan, dan ini membuatkan kami berada dalam keadaan sukar,” katanya lagi.
Ulasan
Catat Ulasan