PENYOKONG Kedah menantikan apakah Akhyar Rashid (kanan) akan dibawa oleh JDT dalam aksi Liga Super di Alor Setar, Jumaat ini
KUALA LUMPUR 26 Mac - Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka paling menerima kesan apabila Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung, Jumaat ini selepas lebih dua minggu berehat untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.
Tujuh tonggak Harimau Selatan menerima panggilan Malaysia - lima bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) bimbingan Datuk Ong Kim Swee dan dua lagi membawa cabaran pasukan senior dalam Piala Air Marine yang berakhir, Sabtu lalu.
Penyerang Terbaik Kebangsaan 2018, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid menjadi tonggak Malaysia sepanjang kempen kelayakan Kejuaraan AFC B-23 bersama Haziq Nadzli, Dominic Tan dan Syamer Kutty Abba.
Pemain pertahanan, Syazwan Andik Ishak dan penyerang, Ahmad Hazwan Bakri pula menggalas cabaran Harimau Malaya yang menduduki tangga ketiga Piala Air Marine.
Mujurlah JDT memiliki ramai pemain yang mempunyai kualiti setanding, sekali gus melegakan jurulatihnya, Benjamin Mora apabila bertandang ke Alor Setar untuk berdepan pasukan tangga ketiga, Kedah, Jumaat ini.
Memandangkan saingan AFC B-23 hanya berakhir hari ini, itu bermakna lima tonggak JDT mempunyai tempoh singkat untuk mempersiapkan diri menghadapi perlawanan.
Kelibat Akhyar, 19, pasti menjadi tumpuan kerana dia bakal kembali ke Alor Setar selepas meninggalkan Lang Merah secara kontroversi.
Selain JDT, Pahang pula mempunyai enam pemain terlibat dalam aksi antarabangsa manakala Perak, Selangor serta pasukan Liga Perdana, Kelantan masing-masing lima.
Bagaimanapun berbanding JDT, empat pemain Pahang, Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha, Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih beraksi dalam Piala Air Marine, bermakna mereka mempunyai tempoh rehat tiga hari lebih daripada tonggak AFC B-23.
Majoriti pemain Selangor, yang akan menerima kunjungan Terengganu di Stadium Shah Alam, Jumaat ini juga bermain untuk pasukan senior iaitu Syazwan Zainon, Abdul Latiff Suhaimi, Faiz Nasir dan Abdul Halim Saari. Hanya seorang menyarung jersi skuad B-23, Syahmi Safari.
JDT turun ke Kedah membawa misi mempertahankan rekod tanpa kalah, sekali gus mengukuhkan kedudukan pendahulu liga.
Bagaimanapun tuan rumah pasti tidak akan memberi laluan mudah, apatah lagi pertarungan dijangka ‘panas’ kerana bagi penyokong Lang Merah isu Akhyar masih belum berakhir.
Ulasan
Catat Ulasan