JOHOR Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila mengekalkan rekod tanpa kalah empat perlawanan berturut-turut dengan membenam Selangor 4-2 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Pemain import JDT, Leandro Velazquez menjadi wira Harimau Selatan apabila menyumbat dua gol manakala Diogo Luis Santo dan Gabriel Cabrera pula masing-masing satu gol.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bermain agak agresif dengan mengatur serangan ke kubu lawan bagi mencari gol pertama.
Namun, pasukan pelawat yang dibimbing Benjamin Mora terlebih dahulu berada di depan seawal minit ke-7 apabila penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid gagal menepis rembatan Velazquez dari luar kotak penalti.
Jaringan pertama itu meniup semangat JDT untuk terus menggempur kubu lawan dan hasilnya gol kedua berjaya diperoleh apabila Diogo Luis Santo bijak menyambar bola muntah untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Tersentak dengan jaringan itu, Selangor mengatur serangan balas sebelum berjaya menyumbat gol pertama tuan rumah menerusi Endrick Dos Santos pada minit ke-33.
Kealpaan pertahanan skuad kendalian B satiananthan yang gagal menyerap serangan lawan dihukum JDT menerusi jaringan ketiga pada minit ke-41 menerusi Gabriel Cabrera.
Gergasi Merah merapatkan jurang pada minit terakhir separuh masa pertama menerusi tandukan kapten pasukan, Rufino Segovia.
Namun, sekali lagi kesilapan Khairulazhan yang gagal menepis kemas rembatan Cabrera memberi peluang kepada Velazquez menyumbat gol keempat pelawat pada minit ke-68 dan kedudukan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Ulasan
Catat Ulasan