Figueroa tetap puas hati



PENGURUS pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa. - Foto Owee Ah Chun

ALOR SETAR : Pengurus pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa mahu pemainnya terus meningkatkan prestasi masing-masing pada perlawanan seterusnya selepas misi membawa pulang tiga mata tidak menjadi kenyataan pada aksi Liga Super bertemu Kedah di Stadium Darul Aman semalam. 
Walaupun terkilan dengan keputusan seri 1-1 yang dicatatkan semalam, Figueroa tetap berpuas hati dengan corak persembahan yang ditampilkan oleh anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan.
"Saya rasa kita perlu menang malam ini setelah mencipta banyak peluang untuk mendapatkan gol,” kata Figueroa.
"Kami dapat mengawal bola dengan baik namun kami tidak dapat menghasilkan gol, inilah bola sepak kadangkala menang kadangkala tidak.
"Walaupun tidak mencapai kemenangan, saya tetap berpuas hati dengan satu mata yang kami peroleh malam ini dan kami masih berada di puncak liga.
"Apa yang perlu sekarang adalah misi untuk pertingkatkan kekuatan dan corak permainan kita pada perlawanan seterusnya, dan pada masa yang sama mengelak untuk melakukan kesilapan."
Pengurus kelahiran Argentina ini turut mengakui JDT berdepan tugas sukar apabila dua pemainnya dihimpit isu kecederaan baru-baru ini selepas pulang daripada mewakili skuad bawah 23 (B-23) tahun negara. 
"Safawi Rasid mengalami kesakitan pada kakinya sementara Syamer Kutty Abba juga turut mengalami kecederaan, dan ini membuatkan kami berada dalam keadaan sukar di samping itu ada tujuh pemain yang terlibat dengan penyertaan bersama skuad kebangsaan sebelum ini.
"Kami tetap memilih untuk menurunkan Safawi kerana dia pemain yang bagus. Walaupun kesakitan dia tetap juga mahu beraksi pada perlawanan ini," katanya.

Ulasan