Fellaini gegar gawang aksi pertama


MAROUANE Fellaini berkata, perpindahannya dari Manchester United ke China bukan untuk bercuti selepas dia menjaringkan gol kemenangan Shandong Luneng dalam aksi pertamanya hari ini.
Pemain Belgium itu hanya memerlukan 50 minit untuk mencipta impak dalam Liga Super China (CSL) dengan rembatan kaki kiri dalam kotak penalti sekali gus gol kemenangan 1-0 Shandong di tempat sendiri ke atas Beijing Renhe dalam aksi pembukaan musim.
"Memang sukar kerana saya baharu sahaja sebulan berada di sini dan tahap kecergasan belum mencapai 100 peratus," kata Fellaini yang menghabiskan lima tahun musim turun naik bersama United.
"Aksi fizikal dan penuh cabaran," katanya ketika ditanya pandangan pertama mengenai bola sepak China yang jumlah pemainnya beraksi di Eropah semakin meningkat dengan gaji lumayan menjadi tarikan utama.
"Saya tidak datang ke sini untuk bercuti, jadi ia pasti sukar,” katanya yang melakukan 177 penampilan dan menjaringkan 22 gol di United sebelum disisihkan pengendali sementara Ole Gunnar Solskjaer bulan lalu.
"Liga China sukar, ia baru bagi saya jadi saya perlu perbaiki prestasi dan tahu mengenai perlawanan.”
Seorang lagi bekas bintang Liga Perdana yang beraksi bersama Southampton, Graziano Pelle menjadi perancang kepada jaringan kemenangan Shandong yang menduduki tempat ketiga CSL musim lalu.

Ulasan