KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa menegaskan tidak kisah mengenai dakwaan bahawa skuad Harimau Selatan mendapat bantuan daripada pengadil Liga Malaysia (Liga M).
Bagi Figueroa, kemenangan 4-2 ke atas Selangor di Stadium Shah Alam, malam tadi membuktikan JDT tidak dipengaruhi sepakan penalti atau ihsan pengadil untuk memenangi perlawanan.
Menjawab soalan wartawan mengenai dakwaan JDT mendapat bantuan pengadil hingga digelar 'Jenalti' oleh netizen kerana kerap diberikan sepakan penalti, Figueroa berkata: "Sejujurnya saya tidak ambil peduli.
"Orang luar akan sentiasa bercakap mengenai JDT. Kami cuba bermain bola sepak mengikut cara kami, dan tidak kisah mengenai perkara lain.
"Biarkan mereka terus bercakap kerana kami hanya perlu bermain bola sepak dan cuba untuk mendapatkan kemenangan dalam setiap perlawanan.
"JDT menjuarai liga sejak tahun 2014. Adakah anda menganggap pengadil yang membantu kami? Sudah berapa tahun? Mustahil. Oleh itu biarkan mereka terus bercakap kerana saya tidak kisah."
BH Sukan sebelum ini melaporkan terdapat sesetengah pihak yang mendakwa JDT mendapat ihsan pengadil susulan mereka diberikan empat sepakan penalti hanya dalam empat perlawanan awal musim ini.
Kejayaan menundukkan Selangor yang juga juara Piala Malaysia 33 kali di gelanggang lawan menyaksikan JDT mengekalkan rekod tanpa kalah dan mengumpul 13 mata selepas lima perlawanan musim ini.
Mengulas lanjut, Figueroa mengakui gembira dengan persembahan cemerlang yang dipamerkan barisan pemainnya hingga berjaya membawa pulang tiga mata berharga.
"Saya perlu mengucapkan tahniah kepada kesemua pemain kerana melakukan tugas dengan terbaik. Kami juga berjaya mendapatkan tiga mata penting. Namun, kami masih perlu sentiasa memperbaiki mutu permainan kami," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan