'Berjuang habis-habisan'

"KITA ada 11 pemain, kita menyerang bersama dan juga bertahan bersama, soal siapa yang akan menyumbangkan gol tidak penting kerana apa yang lebih utama adalah semangat berpasukan dalam memburu tiga mata pada perlawanan nanti."
Itu kata perangsang pemain import tengah Kedah Anmar Al Mubaraki yang menyeru semua rakan sepasukannya supaya turun berjuang habis-habisan memburu kemenangan pada aksi Liga Super Kedah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman malam ini.
"Kita tahu JDT datang dengan reputasi sebagai pendahulu liga pada masa ini, namun itu bukan alasan terhadap ukuran kekuatan sebelum kita berjuang.
"Mereka ada taktikal dan pelan mereka tersendiri, namun kita juga ada perancangan yang akan kita usahakan pada perlawanan itu nanti.
"Setiap pasukan pasti ada kelemahan sendiri dan kita akan berusaha untuk mengambil kesempatan diatas kelemahan yang ada pada pihak lawan.”
Pemain tengah kelahiran Iraq ini juga mahu memastikan Kedah dapat memanfaatkan beraksi di laman sendiri dengan sokongan oleh puluh ribuan penyokong yang hadir.
"Kami mahu memberi aksi terbaik untuk membalas usaha semua penyokong yang hadir dengan memberi sokongan yang padu kepada kami dan ini memberi tenaga tambahan untuk kami berjuang sepanjang 90 minit nanti,” katanya.
"Semua pemain memberi fokus yang terbaik sewaktu latihan di padang dan saya yakin kami dapat menunjukkan aksi yang diharapkan oleh penyokong.
"Selepas mengarungi enam perlawanan, saya lihat keserasian semakin baik antara pemain dan dengan perancangan yang diatur oleh ketua jurulatih, saya yakin kita mampu mencipta kejayaan yang diharapkan.”

Ulasan