Bekas pemain skuad bawah 22 tahun Singapura, Armin Maier dilaporkan bakal memperkuat juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim selepas menjalani sesi ujian bersama Harimau Selatan.
Pemain berdarah kacukan Jerman-Singapura-Malaysia itu mengumumkan berita tersebut menerusi laman Instagram peribadinya.
“Sukacita diumumkan bahawa sesi ujian saya bersama Johor Darul Ta’azim berakhir dengan jayanya dan saya telah melakukan terbaik untuk memikat hati barisan kejurulatihan sepanjang saya di Johor.
“Ianya satu penghormatan setakat ini, untuk menjalani latihan dengan salah satu pasukan paling profesional dan terbaik di Asia dengan kemudahan latihan bertaraf dunia.”
Namun begitu, Armin turut menyatakan bahawa dia tidak akan dapat terus menyertai JDT kerana ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan. Buat sementara ini, pemain berusia 22 tahun akan berangkat ke Jerman dan kembali ke Johor dalam masa beberapa minggu.
Armin sebelum ini pernah beraksi untuk FC Kreuzlingen di Liga Divisyen 2 Switzerland selepas meninggalkan Young Lions.
Kredit foto: Persatuan Bolasepak Singapura (FAS)/Armin Maier
Ulasan
Catat Ulasan