B. Satiananthan: Jangan beri JDT masuk ke kotak penalti


Ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan menggesa anak buahnya agar mengekang pemain-pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada memasuki kotak penalti seterusnya memberikan peluang mereka untuk meledak gol dalam perlawanan malam ini.
Ketika ini, barisan serangan Harimau Selatan diisi dengan penggempur terbaik dalam kalangan pemain import mahupun tempatan seperti Diogo Santo, Gonzalo Cabrera, Leandro Velazquez, Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan juga Hazwan Bakri.
Kita sedia maklum, pemain-pemain yang dinyatakan di atas mempunyai kualiti tersendiri samada dari segi kelajuan, kekuatan rembatan mahupun menjaringkan gol dari sudut yang sukar apabila berada di hadapan pintu gol pihak lawan.
Justeru, adalah lebih baik untuk mematikan asakan-asakan anak buah Luciano Figueroa bermula di bahagian tengah lagi sebelum mereka menjengah di dalam kotak penalti.
“Kita tahu JDT pasukan yang handal kerana mempunyai barisan pemain tempatan dan import yang berkualiti. Boleh dikatakan mereka pasukan yang serba mantap di setiap posisi terutama di barisan serangan.
“Jadi kita perlu awas dan jangan beri mereka peluang untuk masuk ke kotak penalti kita. Itu memang kena jaga-jaga sikit kerana mereka mempunyai kemahiran yang baik jika mendapat peluang dalam kawasan penalti,” kata Coach Satia seperti dipetik daripada Sinar Harian.
Beliau dilihat telah mempunyai strategi untuk mengekang barisan penyerang JDT daripada menerjah kotak penalti Selangor pada malam ini.
Dijangka pengendali berusia 60 tahun ini bakal menurunkan trio midfield yang cemerlang menahan asakan ketika menentang Pahang pada ahad lalu iaitu K. Sarkunan, Endrick Dos Santos Parafita dan Halim Saari untuk memberikan perlindungan kepada barisan pertahanan Selangor.
Sementara itu, gandingan bek berempat berkemungkinan turut tidak berubah dengan Syahmi Safari (pertahanan kanan), Latiff Suhaimi, Michal Nguyen (pertahanan tengah) dan Nurridzuan (pertahanan kiri).
Perlawanan pada malam ini dijadualkan pada jam 9 malam di gelanggang rasmi The Red Giants, Stadium Shah Alam.
Foto Kredit: JOHOR Southern Tigers

Ulasan