Asal JDT je (jadi) isu la

Asal JDT je (jadi) isu la

Asal JDT je (jadi) isu la

“Asal JDT je isu la,” kata satu hantaran Komuniti Kota Masai-KKM ke laman Facebook Astro Arena kelmarin.

Ia adalah antara hampir 500 komen (saya baca kesemuanya) yang mendapat 114 perkongsian pada hitungan terakhir di bawah tajuk berita “Undian Piala FA: JDT dikecualikan, Selangor hadapi Kelantan” di laman stadiumastro yang terus menjadi tular.

Lucu ada, tak masuk akal ada, menyakitkan hati pun banyak daripada khalayak ‘pengulas’ yang ramai cerdik pandai, dengan sebahagian yang lain pula barangkali boleh tergolong sebagai terlajak cerdik terlanjur pandai.

Bukan kepalang riuhnya platform media sosial sejurus tersebar berita Johor Darul Ta’zim (JDT) diundi mendapat laluan percuma terus ke pusingan ketiga Piala FA 2019 pada ketika 30 pasukan lain harus beradu sesama sendiri dalam pusingan kedua pada 2 April ini.

Netizen, kebanyakannya walaupun tidak semua, malah mencadangkan kelab Harimau Selatan itu diberikan laluan tidak betul terus ke final atau dinobat juara tanpa perlu dikerah bermain.

Daripada pelbagai “analisis” yang dibuat netizen, barangkali ia boleh disimpulkan kepada tiga hujah utama: 1) Pahang selaku juara bertahan Piala FA lebih layak mendapat satu-satunya slot ‘bye’; 2) Mana-mana pasukan lain waima Batu Dua FC boleh diundi untuk slot tunggal itu; 3) Asalkan bukan JDT yang mendapat tuah undian itu yang didakwa dengan bantuan tangan ghaib.

“Awat xbagi juara terus ja, bagi piala terus, yg nk main ni nk cari naib juara ja,” kata satu hantaran Wan Zack A'fif yang mendapat sokongan ratusan yang lain di samping hantaran Zidane Haikal Zinandine yang berbunyi: “Dalam banyak pasukan, JDT cun-cun diundi untuk dapat ‘bye’… sarkas sangat.”

“MFL sampah, jadilah piala sampah,” kata satu komen nakal, yang bagaimanapun ditempelak komentar Shaq Oil: “Knp bengap sgt nama pun undi… kira nasiblah... kalau kena team lain pun lebih kurang jer..”

“Team juara bertahan xdpt bye… tp team suku akhir dpt bye... ini mmg gila.. liga sarkis.. juara bertahan sepatutnye dpt kelebihan… mmg kerja gila la.. haha… xtau nk kata apa dah… nampak unsur2 jahat dan sabotaj kt situ… nampak unsur2 tangan ghaib xnk bg kelebihan pada juara bertahan,” kata Badrul Hisyam.

Senada dengannya ialah Suhairy Aziz: “Juara bertahan tak dapat bye. Yang dapat team yg kalah suku akhir. Kelakar Liga Malaysia ni.”

“Depa atur elok sgguh noh,” ciap Ridzuan Ramli dalam loghat Utaranya.

“Sepatutnya Pahang yg dikecualikan. Pahang juara Piala FA... bukan JDT. Apa masalah hmpa sebenarnya, cuba cita skit,” soal Sharizan Bin Rosli.

Bukanlah untuk memenangkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tapi penjelasan yang dapat diberi ialah ramai yang tidak faham proses undian itu sebenarnya.

Seperkara yang harus diamati ialah majlis undian itu bukan hanya dihadiri pegawai-pegawai MFL, malah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), termasuk jabatan undang-undangnya, Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) serta wakil-wakil setiap pasukan yang bertanding.

Sejurus undian selesai, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, dua kali bertanyakan jika ada sebarang bantahan, namun tiada yang memberi respons mempertikaikannya.

Komen Facebook oleh Amirul Wazi memberikan pencerahan: “Tengok video tak musibat sekalian. Dasar mentaliti bocah.... Dah dia cabut undi JDT dapat pengecualian dari bertanding... Nie ahh dia bila tak paham konsep jadi mcm nie ahh… Baik korang duduk umah layan Didi and Friend.”

Harus wajar dipertimbangkan untuk majlis undian disiarkan secara langsung pada masa depan agar ramai yang dapat mengikutinya dari mula hingga akhir. (Tapi yang hendak mempertikai, tetap akan mempertikaikannya jua)

Sepertimana pertandingan yang membabitkan proses undian – baik di luar negara sekalipun – ia tidak tertakluk kepada format khusus melainkan ia hak penganjur yang terikat oleh peraturan pertandingannya sendiri.

Peraturan pertandingan Piala FA tiada menetapkan pasukan juara bertahan harus mendapat ‘bye’ dan ia tidak pun mendapat bantahan wakil Pahang yang menghadiri majlis undian itu.

Dan nama JDT sebenarnya diundi di peringkat pertengahan undian apabila tiba giliran untuk mengisi slot pasukan yang mendapat ‘bye’ selepas beberapa pasukan awal terlebih dahulu diundi mengisi slot mereka dalam pusingan kedua.

Pernah dalam satu undian yang dikendalikan bekas Setiausaha Agung FAM, mendiang Datuk Paul Mony Samuel, satu-satunya pasukan yang mendapat ‘bye’ diputuskan daripada bola kecil terakhir mengandungi nama pasukan yang masih tertinggal di dalam balang selepas semua pasukan lain diundi.

Andaikanlah cara itu yang dilakukan kelmarin – dan bola terakhir itu mengandungi nama JDT – apakah netizen akan menerimanya sebagai terlajak telus dan terlanjur adil?

Persoalan itu dijawab oleh satu hantaran Readone Eduardo: “Disebabkan Perlis disingkirkan dari liga la ade 1 slot jd BYE.. Tu pon xleh pkir ke?? Adehhh”

Faizal Saim mencelah: “Undi kan? Apa masalahnya? kahkahkahkah…” yang disambung Muhd Solleh Razak: “Dah nma punn undi , bukan boleh tahuu ponn.”

“Finalis musim lepas TIADA KEISTIMEWAAN... JDT diundi dengan adil!,” sokong Shahir Jamaludin.


Daripada hampir 500 komen berkenaan, harus tidak silap untuk kesimpulan dibuat bahawa ia bukan pun berkisar kepada kredibiliti MFL, ketelusan proses undian yang dijalankan atau peraturan pertandingan yang diguna pakai.

Komen oleh Da'ie Haziq menyimpulkannya dengan tepat sekali: “Asal JDT ada je yg x puas hati, asal JDT ada je point yg nk di salahkn.”

Muhamad Alif mencetuskan: “Bende ni tkkn jadi isu kalau bukan JDT.” 

“Alah, sbnr ny isu die pasal JDT tu nasib diundi dpt bye. Mula la ade yg bg cadangan ‘sepatutnya juara bertahan dpt bye’. Cube undi td yg dpt bye Penjara FC, xde isu dah skg ni,” kata M Shaffik Maskup.

Dua komen penutup ini, mungkin seorang daripadanya penyokong JDT, jelas senada dan seirama. 

Mohd Sharawfi: “Ada penyokong dia kata depa murah rezeki sebab selalu jadi mangsa fitnah. Kihkihkih”

Ahmie Amy: “JDT selalu kena fitnah… Tu yg tuhan balas depa selalu bernasib baik… Syukur.“

Ulasan ini saya akhiri dengan persoalan daripada Daus Anil: “Kenape ya tentang JDT semua x kene? Ada je ko org x suke apa JDT buat smpi begitu ya?”

Biarlah JDT yang menjawabnya pada masa yang sesuai.

Ulasan