Anak Muda JDT Berpeluang Asah Taring Menentang Akademi Kelab Ternama Eropah


Laman Facebook rasmi kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Southern Tigers melaporkan JDT telah dijemput untuk menyertai kejohanan belia terbesar di Asia, JSSL Professional Academies 7syang bakal berlangsung di Singapura.

Menerusi kenyataan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, JDT B-16 akan menyertai 15 kelab profesional yang akan bertanding antaranya Atletico Madrid, Arsenal, Valencia, Fulham, Urawa Red Diamonds, Perth Glory, Bangkok United dan Persib Bandung.
Kejohanan tersebut bakal berlangsung selama 3 hari iaitu bermula pada 19 hingga 21 April 2019 di Our Tampines Hub, Singapura.
“Adalah satu penghormatan buat kami apabila dijemput untuk bertanding bersama beberapa kelab ternama dalam arena bola sepak,” Alistair Edwards dipetik berkata di JST.

“Penyertaan dalam kejohanan JSSL Professional Academies 7s juga memberi peluang kepada anak-anak muda JDT untuk mempamerkan bakat mereka dan berkemungkinan dapat menarik perhatian dari kelab-kelab ternama Eropah.” tambahnya lagi.
Dijangkakan pada tahun ini, ia bakal melibatkan 400 pasukan dalam pelbagai kategori pertandingan antaranya B-8, B-9, B-10 dan ia juga melibatkan pertandingan kategori wanita.
Untuk rekod, tahun pertama penganjurannya, JSSL Professional Academies 7s hanya melibatkan 40 pasukan sahaja.
Kejohanan ini merupakan anjuran JSSL Singapura yang merupakan akademi bola sepak swasta terbesar di Singapura. Mereka mengendalikan 12 liga belia, 36 divisyen dan 350 pasukan.
Sebagai maklumat tambahan, Pengarah Eksekutif JSSL Singapura ini adalah bekas pertahanan Man City dan England, Paul Parker.
Dengan adanya Parker, mereka telah berjaya menarik bekas-bekas pemain England untuk menjadi tetamu kehormat kejohanan antaranya Teddy Sheringham, Emile Heskey dan terbaharu, bekas penyerang Manchester United, Andy Cole.
Selain itu, JSSL SIngapura juga telah menjalinkan kerjasama bersama sebuah kelab Inggeris, Fulham dan terkini bersama pasukan tempatan di S-League, Tampines Rovers.
Menerusi kerjasama inilah, bakat baharu Singapura yang telah dilahirkan oleh JSSL Singapura, Ben Davis telah dapat menyertai Fulham dan kini sedang beraksi bersama Fulham B-18.
Selain JDT, terdapat juga kelab-kelab lain dari Malaysia yang menyertai kejohanan ini untuk kategori lain antaranya FC Kuala Lumpur, Penang Soccer FC, NFDP dan Royal Selangor Club.
Kredit Featured Image: JST

Ulasan