AKHYAR RASHID mengharungi malam sukar di Stadium Darul Aman, Alor Setar apabila membuat kepulangan pertama di Kedah dalam aksi Liga Super, malam ini. Kedah dan JDT seri 1-1. - Gambar JOHOR SOUTHERN TIGERS
ALOR SETAR 29 Mac -Kepulangan Akhyar Rashid di Stadium Darul Aman disambut dengan ejekan ‘boo’ dalam perlawanan Liga Super yang menyaksikan Kedah seri 1-1 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebentar tadi.
Akhyar, 20, nyata mengharungi malam yang lebih sukar berbanding rakan-rakan sepasukannya yang lain apabila diejek penyokong Lang Merah setiap kali mendapat bola, suasana yang sudah dijangkakan sejak awal.
Ini adalah kepulangan pertama pemain tengah itu ke Alor Setar sejak meninggalkan Kedah untuk menyertai JDT secara kontroversi pada Disember lalu.
Dalam perlawanan yang berlangsung di depan 25,000 penonton, JDT bermula garang apabila mendahului Kedah seawal minit ke-10 menerusi sepakan percuma Safawi Rasid dari jarak 25 meter yang gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal.
Tersentak dengan jaringan itu, Kedah mula melancarkan serangan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-20, namun rembatan Fernando Rodriguez di luar kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.
Stadium Darul Aman kemudian bergegar menyambut jaringan penyamaan skuad Lang Merah pada minit ke-30 menerusi tandukan Rodriguez ketika keadaan kelam-kabut di dalam kotak penalti dengan Farizal hanya mampu melihat bola menerjah jaring.
Ketika perlawanan berbaki lima minit di babak pertama, JDT hampir sekali lagi berada di depan pada minit ke-42, namun sepakan Diogo Luis Santo hasil lorongan cantik Safawi berjaya diselamatkan oleh Rizal Ghazali di atas garisan gol ketika Ifwat sudah pun tertewas.
Aksi kedua-dua pasukan itu juga berlangsung panas dan tegang dengan pengadil terpaksa melayangkan tiga kad kuning pada babak pertama masing-masing kepada Rizal, Amirul Hisham dari Kedah serta pertahanan skuad Harimau Selatan, Corbin-Ong.
Bersambung babak kedua, JDT mula memperkemaskan rentak permainan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu tuan rumah dan hampir dua kali berada di depan namun tandukan Corbin dan Mauricio Dos Santos masing-masing pada minit ke-54 serta ke-56 berjaya ditepis keluar oleh Ifwat.
Buntu mencari jaringan, JDT akhirnya membawa masuk Akhyar bagi menggantikan Safawi pada minit ke-83 namun penyerang sensasi kebangsaan itu gagal membantu skuad Harimau Selatan memburu kemenangan. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan