Aidil Sharin: “Rancangan Awal Kita, Sekat Tiga Pemain ‘Mahal’ Mereka”


Kedah berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di Darul Aman kepada 3 perlawanan apabila mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi minggu ke-7, Liga Super 2019, malam tadi.

Kedah dan JDT masing-masing meledak 1 gol dan terpaksa berpuas hati membawa pulang 1 mata. JDT merupakan pasukan pertama menjaringkan gol di Darul Aman musim ini.
Mengulas mengenai aksi pemainnya, Aidil Sharin menyatakan dalam sesi post-match reaction di iflix yang mereka berjaya mengekang JDT namun melepaskan gol menerusi situasi set-pieces.
“Saya berbangga dengan pemain-pemain saya, satu persembahan yang sangat baik dan kita cuma melepaskan gol menerusi set-pieces. Kita tidak beri ruang mereka bermain dan melepaskan gol.

“Pemain saya telah mengikut rancangan dan sudah pasti, apa yang saya boleh katakan, ianya atas komitmen mereka membolehkan kita meraih keputusan positif ini,” ujarnya lagi.
Aksi yang berintensiti tinggi di babak pertama yang dipamerkan oleh Kedah tiba-tiba diperlahankan pada babak kedua. Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sehingga wisel penamat.
Menurut Aidil Sharin, ia adalah rancangan taktikalnya untuk memerangkap JDT di penghujung perlawanan, namun mungkin ianya tidak berjaya disudahkan dengan baik oleh pemainnya.

“Ianya adalah sebahagian rancangan taktikal. Tahap kecergasan kita sebenarnya masih boleh lebih daripada itu.
“Dan jika kita lihat, menuju penghujung perlawanan, pemain-pemain saya masih mampu mengasak dan pemain lawan sudah mula penat dan mengalami kekejangan,” tambahnya lagi.
Selain itu, rancangan mereka dari awal permainan adalah untuk menyekat beberapa pemain penyerang JDT – jentera serangan paling efektif setakat ini dengan 17 gol dalam 7 perlawanan.
Aidil Sharin menyatakan tiga nama yang baginya merupakan pemain terbaik yang dimiliki oleh JDT iaitu Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera dan juga penyerang utama, Diogo Santo.
Mungkin disebabkan itu, jika diperhatikan perlawanan pada awalnya berlangsung agak keras dan fizikal antara kedua-dua pasukan sebelum Kedah kembali tenang untuk beraksi baik.
“Rancangan kita adalah untuk menyekat Safawi, Cabrera dan termasuklah juga Diogo daripada dapat bermain seperti biasa.
“Ketiga-tiga pemain ini adalah pemain terbaik (JDT), mereka adalah pemain ‘mahal’,” jelas pengendali berusia 41 tahun itu lagi.
Kedah kini berada di kedudukan ke-3 Liga Super dengan 12 mata, hanya satu mata di depan PKNS FC yang akan turun beraksi pada malam nanti menentang PJ City FC di gelanggang lawan.

Ulasan