KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak
KUALA LUMPUR 30 Mac- Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak nyata gembira dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya ketika mengikat juara lima kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 di Stadium Darul Aman malam tadi.
Tambahnya, semangat dan komitmen tinggi selain kehadiran 25,355 penyokong Lang Merah nyata memberi tekanan kepada pasukan lawan.
“Sikap tidak menyerah kalah serta komitmen tinggi membolehkan mereka bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan satu gol pada awal perlawanan.
“Bukan mudah bagi mana-mana pasukan menentang JDT dan saya bangga dengan pemain-pemain termasuk Fernando (Rodriguez) yang membuktikan ketajamannya pada perlawanan kali ini.
“Apa yang penting adalah semua pemain saya telah memberi usaha 100 peratus mereka dan saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada semua penyokong Hijau Kuning yang hadir memberi sokongan motivasi kepada pasukan yang mereka sayangi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Pengendali dari Singapura itu, juga mengakui beberapa perubahan posisi dan taktikal terpaksa dilakukan bagi mengelak lawan menghidu corak permainan yang sama seperti yang selalu dilihat.
“Kalau anda lihat ketika bertemu Pahang saya buat tiga pertukaran dan bertemu JDT saya juga membuat beberapa pertukaran dan pemain yang diturunkan mempamerkan permainan yang baik,” ujarnya.
JDT terlebih dahulu di depan menerusi tendangan bola mati Safawi Rasid pada minit ke-10 namun Kedah kembali mengikat kedudukan pada minit ke-30 hasil tandukan Rodriguez. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan