ACL 2019: Mora tidak tolak kemungkinan menurunkan Natxo Insa menentang Gyeongnam FC
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan perancang tengah, Natxo Insa dalam aksi kedua peringkat Kumpulan E, Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2019, pada malam ini.
Beliau turut mendedahkan bahawa pemain kacukan Sepanyol-Malaysia itu telah kembali menjalani latihan bersama pasukan setelah mendapat kecederaan pada awal februari lalu.
Kehadiran pemain berusia 32 tahun tersebut mampu memberikan skuad Harimau Selatan lebih kekuatan di bahagian midfield bersama-sama kapten, Hariss Harun. Bagaimanapun, beliau tidak akan membuat keputusan yang terburu-buru dan akan mengambil kira laporan daripada pihak perubatan kelab terlebih dahulu.
“Semuanya bergantung kepada keputusan pegawai perubatan pasukan dan kami juga akan beri dia peluang berlatih dan melihat sendiri keadaan kecergasan pemain itu sama ada dia boleh beraksi atau bermula di bangku simpanan.
“Natxo sudah menjalani latihan bersama pasukan dan tampak begitu bersungguh-sungguh untuk berada di tahap kecergasan terbaik dan saya tidak nafikan kelibatnya amat penting dalam pasukan kerana dia memainkan peranan penting di posisi tengah.
“Kita tengok dulu dia boleh melepasi tahap kecergasan atau tidak dan jika semuanya berjalan lancar mungkin dia akan diturunkan sama ada pada awal permainan atau pada aksi babak kedua. Kita akan putuskan nanti,” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.
Mengulas mengenai naib juara K-League musim 2018, Gyeongnam FC, Mora telah mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pasukan tersebut berdasarkan penampilan mereka menentang Shandong Luneng dan saingan liga musim ini.
Turut diberikan perhatian adalah beberapa pemain yang menjadi tunjang utama pasukan, dimana kehadiran mereka mampu memberikan ancaman kepada skuad Harimau Selatan.
Pada masa yang sama, beliau turut menekankan kepada anak buahnya agar sentiasa fokus sepanjang permainan dan mengelak daripada melakukan kesilapan-kesilapan mudah seperti menentang Kashima Antlers pada perlawanan lalu.
“Pemain nombor 10 (Kim Seung-jun) perlu disekat dan tidak boleh dia bebas bergerak kerana 80 peratus gol yang dijaringkan pasukan itu berpunca daripada pemain itu. Malah hantaran lintang pemain pasukan itu juga boleh mengundang bahaya buat JDT.
“Jadi kita kena fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan tidak boleh leka walaupun sesaat dan saya berharap pemain tidak melakukan kesilapan mudah yang memudahkan pasukan lawan menghukum kita dengan jaringan,” ulasnya.
Foto Kredit: JOHOR Southern Tigers
Ulasan
Catat Ulasan