ACL 2019: Mora Harap Pemain JDT Tidak Melakukan Kesilapan Mudah

Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora berjanji skuadnya akan pamerkan aksi terbaik apabila bakal melayan kunjungan kelab dari Korea Selatan, Gyeongnam FC bagi aksi kedua Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, malam esok.
“Saya tahu jangkaan orang ramai tinggi sejak kami bertemu dengan kelab Jepun (Kashima Antlers), tetapi saya rasakan pasukan telah memberikan tentangan yang terbaik dan kami gembira dengan keputusan dicapai.
“Tetapi esok, ia adalah mengenai perlawanan yang berlainan. Kami perlu kekal fokus supaya dapat bermain sebagai satu pasukan dan keluarga,” katanya dalam portal Bernama.


FOTO: JST
Bagaimanapun, Mora mengakui lawan yang akan ditentang malam esok bukan calang-calang pasukan berdasarkan prestasi mereka mencatat keputusan seri dengan kelab gergasi China, Shandong Luneng FC 2-2 pada aksi pertama AFC Champions League minggu lepas.
Menurut beliau, antara pemain yang perlu diberi perhatian ialah pemain berjersi nombor 10 yang beraksi di posisi sayap kanan dan mampu memberi ancaman berbahaya kepada benteng pertahanan pasukannya.
“Pemain nombor 10 (Kim Seung-jun) perlu disekat dan tidak boleh dia bebas bergerak kerana 80 peratus gol yang dijaringkan pasukan itu berpunca daripada pemain itu. Malah hantaran lintang pemain pasukan itu juga boleh mengundang bahaya buat JDT.

“Jadi kita kena fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan tidak boleh leka walaupun sesaat dan saya berharap pemain tidak melakukan kesilapan mudah yang memudahkan pasukan lawan menghukum kita dengan jaringan,” katanya dalam Berita Harian.
FOTO: JST

JDT juga dijangka akan diperkuatkan kembali oleh tonggak tengah, Natxo Insa namun Mora menjelaskan khidmat pemain kelahiran Sepanyol itu akan ditentukan ketika sesi latihan rasmi.
“Semuanya bergantung kepada keputusan pegawai perubatan pasukan dan kami juga akan beri dia peluang berlatih dan melihat sendiri keadaan kecergasan pemain itu sama ada dia boleh beraksi atau bermula di bangku simpanan.
“Natxo sudah menjalani latihan bersaman pasukan dan tampak begitu bersungguh-sungguh untuk berada di tahap kecergasan terbaik dan saya tidak nafikan kelibatnya amat penting dalam pasukan kerana dia memainkan peranan penting di posisi tengah.
“Kita tengok dulu dia boleh melepasi tahap kecergasan atau tidak dan jika semuanya berjalan lancar mungkin dia akan diturunkan sama ada pada awal permainan atau pada aksi babak kedua. Kita akan putuskan nanti,” katanya.

Ulasan