ACL 2019: JDT Sudah Bersedia Berdepan Pasukan Terbaik Asia


Juara Liga Super 5 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) teruja berdepan kelab gergasi Jepun, Kashima Antlers dalam saingan pembukaan Kumpulan E AFC Champions League 2019 (ACL) pada pukul 6 petang ini.
Mereka bakal mencipta sejarah sebagai kelab pertama Malaysia yang beraksi di pentas tertinggi Asia itu dan tekad melakukan yang terbaik dalam perlawanan itu.
“Kami perlu membiasakan diri dengan cuaca yang amat sejuk berserta hujan sepanjang hari di sini. Perlawanan ini amat penting kerana ini adalah perlawanan pertama di tempat lawan untuk kejohanan Liga-Liga Juara AFC (ACL).
“Bagi saya ini merupakan pengalaman yang baik buat pasukan lebih-lebih lagi kami akan bertanding dengan sebuah pasukan yang amat hebat. Semestinya ini cabaran yang baik untuk kami. Kami perlu mempersiapkan diri dari segi mental dan juga fizikal untuk menghadapi perlawanan tersebut.

“Apa yang dapat saya katakan adalah kesemua pemain amat bersemangat dan teruja. Kami juga telah menjalani sesi latihan dengan baik dan lebih fokus kerana masing-masing sedar betapa besarnya perlawanan ini,” kata pemain tengah, Harris Harun dalam kenyataan di laman facebook JOHOR Southern Tigers.

Pemain JDT melakukan persiapan rapi untuk membiasakan diri dengan cuaca sejuk di Jepun. FOTO: JST
Di atas kertas, Kashima Antlers selaku juara bertahan ACL merupakan pilihan utama untuk memenangi perlawanan ini, namun mereka juga berdepan masalah tersendiri apabila kehilangan penyerang utama, Yuma Suzuki akibat kecederaan hamstring, selain belum mencatat kemenangan dalam dua aksi pertama Liga Jepun (Liga-J) musim ini.

Kashima dinobat sebagai juara ACL tahun lepas selepas mengalahkan wakil Iran, Persepolis 2-0 secara agregat, November lalu dan layak beraksi dalam edisi 2019 selepas mengetepikan kelab Australia, Newcastle Jets 4-1 pada pusingan playoff.
JDT pula turun beraksi de­ngan reputasi selaku juara Piala AFC 2015, juara Liga Super Malaysia lima tahun berturut-turut dan belum kalah dalam lima perlawanan Liga Super setakat ini.

Ulasan