Tugas berat sedang menanti juara Liga Super 5 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila pengendali kelab gergasi Korea Selatan, Gyeongnam FC, Kim Jong Boo menegaskan akan menurunkan barisan terbaik pada aksi Kumpulan E AFC Champions League di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
“Kami turun ke Johor Bahru dengan satu misi, iaitu menang dan ketika aksi Liga 1 Korea apabila tewas 2-1 kepada Incheon United, saya tidak menurunkan barisan terbaik kerana mahu beri tumpuan pada aksi ACL dan untuk menentang JDT pastinya barisan terbaik akan diturunkan,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Mengulas mengenai prestasi JDT ketika menentang juara bertahan ACL, Kashima Antlers minggu lalu, Jong Boo mengakui terkejut dengan keupayaan kelab dari Malaysia memberikan saingan sengit kepada kelab gergasi Jepun tersebut dan pada masa yang sama mahu anak buahnya berhati-hati.
“Ya pasukan JDT tampil buat pertama kali dalam kancah ACL dan kami juga serupa JDT dan ia pasti perlawanan menarik namun kami tidak boleh terlalu yakin sebaliknya harus berhati-hati kerana lawan kami adalah kelab terbaik di Malaysia.
“Malah keupayaan JDT tewas tipis 1-2 kepada Kashima Antlers yang merupakan juara bertahan agak mengejutkan. Bagaimanapun kami anggap JDT bernasib baik kerana saya melihat rakaman perlawanan itu dan kelab dari Jepun itu tidak menurunkan kesebelasan utama,” jelasnya.
Kehadiran bekas pemain import Terengganu FC dan Kelantan, Do Dong Hyun yang beraksi dengan Gyeongnam FC memberi sedikit kelebihan kepada pasukan itu kerana Dong Hyun telah mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Malaysia selama 3 tahun dan sangat mengenali kekuatan serta kelemahan JDT.
Menurut Jong Boo, beliau mengetahui JDT dibarisi oleh ramai pemain skuad kebangsaan yang berpengalaman di pentas antarabangsa melalui pengkongsian maklumat daripada Dong Hyun.
“JDT juga melakukan pelaburan yang besar untuk mendapat pemain import yang terbaik dan saya akui pasukan itu tidak boleh diperlekehkan namun kami akan tetap beri tentangan untuk mencari kemenangan pertama.
“Mengenai faktor cuaca yang panas, ia bukanlah penghalang kerana kami berpengalaman menjalani latihan pra-musim di Thailand, Januari lalu dan bagi saya faktor bukan masalah besar buat pemain,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan