JOHOR BAHRU: Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim menempelak sikap `kebudak-budakan' kapten, Ahmad Sukri Ab Hamid hingga dilayangkan kad merah ketika pasukan itu tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Malah beliau juga kecewa dengan kegagalan lima pemain importnya yang langsung tidak menyerlah dan tidak mampu mempamerkan aksi terbaik mengimbangi kekuatan skuad Harimau Selatan.
"Satu tindakan tidak professional oleh Ahmad Sukri dan tindakan pengadil melayangkan kad merah kepadanya adalah wajar malah saya enggan mempertahankan tindakan pemain yang sengaja menyebabkan diperintahkan keluar padang.
"Emosi kenalah kawal dan jangan bertindak melulu. Saya akan panggil pemain itu untuk memberi nasihat kepadanya supaya lebih berhati-hati dan tidak lagi bersikap kebudak-budakan kerana yang rugi adalah pasukan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
"Mengenai pemain import, mereka tampak belum serasi walaupun selepas enam perlawanan diharungi bersama, mereka sepatutnya mempamer persembahan mantap bukannya sekadar melengkapkan kesebelasan utama," katanya.
Abu Bakar juga menegaskan keputusan pengadil perlawanan, Khirulazuan Kidam menghadiahkan sepakan penalti adalah tepat dan tidak membantah kerana tindakan pemainnya mengasari pemain JDT dalam kotak penalti begitu jelas.
Katanya, ada ketika beliau agak kurang senang apabila pengadil memberi sepakan penalti namun dalam perlawanan itu kesilapan dan kegopohan menjadi punca pemainnya melakukan kesilapan sehingga JDT meraih dua sepakan penalti.
"JDT menyerang daripada posisi tengah, sayap kiri dan kanan dan akibat kegopohan serta hilang fokus maka pemain saya membuat kesilapan yang membolehkan pasukan itu meraih sepakan penalti. Akibat dua penalti itu memang sukar untuk pemain saya bangkit dan terpaksa bergelut mencari rentak.
"Kini kami perlu fokus dalam tempoh dua minggu untuk berdepan Kuala Lumpur dan pastinya saya akan kaji semula untuk meningkatkan corak permainan kerana kami mahukan kemenangan pertama bagi mengelak terperosok di tangga bawahan liga," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan