Abu Bakar Fadzim: Dua Penalti Bukti Pemain PKNP FC Tidak Fokus

Dalam sesi post match reaction sejurus tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim nyata tidak berpuas hati dengan apa yang dipamerkan oleh pemainnya.
PKNP FC tewas mudah 0-3 kepada JDT di Larkin dengan gol-gol tersebut telah dijaringkan oleh tiga pemain import pasukan tuan rumah, Leandro Velazquez, Diogo dan Gonzalo Cabrera.
“Kita tidak bersaing pada separuh masa pertama. Kita tahu kita dalam tekanan dan kita datang ke sini – yang mana hampir 99% pasukan yang datang gagal membawa pulang mata penuh.
“Tetapi, cara kita bermain pada separuh masa pertama macam terlampau menghormati (lawan). Kita rancang benda lain. Sambil kita mengekang, kita tunggu peluang untuk menyerang,” ujarnya.
Tetapi Abu Bakar mengakui, apa yang berlaku di dalam padang tidak seperti yang dirancang olehnya. Counter attack yang diketahui gaya permainan PKNP FC dilihat ‘mati’.
Pelawat langsung gagal mengasak kubu tuan rumah dan hanya selepas 40 minit barulah penjaga gawang, Farizal Marlias diusik menerusi percubaan daripada sepakan percuma.
“Tetapi saya tengok, bahagian pertahanan dan serangan kita tidak berfungsi. Dan apabila terdesak berlaku dua penalti hasil kesilapan kita yang menunjukkan kita tidak fokus untuk bersaing dengan pasukan pilihan seperti JDT,” jelasnya lagi.
Abu Bakar sebelum ini sudah pernah menyatakan yang pertahanan PKNP FC pada musim ini adalah yang paling teruk pernah diuruskannya dan ianya terbukti dengan 13 bolos dalam 6 aksi.
Antara yang menerima kritikannya adalah pertahanan import dari Tajikistan, Siyovush Asrorov yang dalam perlawanan ini telah dikeluarkan selepas 40 minit perlawanan berlangsung.
Asrorov merupakan pemain skuad kebangsaan Tajikistan dan dengan apa yang dipamerkannya jelas tidak menunjukkan kualiti yang seharusnya dimiliki oleh pemain-pemain import.
PKNP FC kini berada di kedudukan dasar liga dengan hanya mengumpul 1 mata. Rentetan aksi tanpa kemenangan ini telah berlarutan sejak Ogos tahun lalu – selepas menewaskan Selangor dalam aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia 2018.
PKNP FC berpeluang memperbaiki kedudukan liga apabila dijadualkan akan turun menentang pasukan tangga terbawah, Kuala Lumpur di laman sendiri dalam perlawanan minggu ke-7 nanti.

Ulasan