ABU Bakar Fadzim menempelak sikap `kebudak-budakan' kapten, Ahmad Sukri Ab Hamid hingga dilayangkan kad merah selepas pasukan tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Malah beliau juga kecewa dengan kegagalan lima pemain importnya yang langsung tidak menyerlah pada aksi itu tatkala tidak mampu mempamerkan aksi terbaik untuk berusaha mengimbangi kekuatan skuad Harimau Selatan.
"Satu tindakan tidak profesional oleh Ahmad Sukri dan tindakan pengadil melayangkan kad merah kepadanya adalah wajar malah saya enggan mempertahankan tindakan pemain yang sengaja menyebabkan dia diperintahkan keluar padang.
"Emosi kenalah kawal dan jangan bertindak melulu. Saya akan panggil pemain itu untuk memberi nasihat kepadanya supaya lebih berhati-hati dan tidak lagi bersikap kebudak-budakan kerana yang rugi adalah pasukan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
"Mengenai pemain import, mereka tampak belum serasi walaupun selepas enam perlawanan diharungi bersama, mereka sepatutnya mempamer persembahan mantap bukannya sekadar melengkapkan kesebelasan utama," katanya.
Abu Bakar juga menegaskan keputusan pengadil perlawanan, Khirulazuan Kidam menghadiahkan sepakan penalti adalah tepat dan tidak membantah kerana tindakan pemainnya mengasari pemain JDT di dalam kotak penalti begitu jelas.
Ulasan
Catat Ulasan