99% pasukan yang berkunjung ke Larkin tidak dapat memungut sebarang mata – Abu Bakar Fadzim

Selepas masih gagal mencari kemenangan dalam aksi Liga Super selepas enam perlawanan berlangsung, ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim mengakui tugas sukar yang dihadapi oleh pasukannya. Kekalahan 0-3 kepada penyandang juara, Johor Darul Ta’azim di Larkin membuatkan PKNP masih terkandas di zon penyingkiran.
“Memang kita lalui detik yang sukar selepas PKNP berjaya mengekalkan rentak. Kita akui kesukaran sebagai pasukan kelab dan masalah keserasian yang kami hadapi dan tekanan untuk mencari kemenangan. Pemain import yang kami miliki selepas enam perlawanan memang nampak bergelut untuk menunjukkan aksi yang baik. Kami tahu kemampuan kami, cuma sekarang ni nampaknya empat pasukan terbawah bergelut mencari kemenangan. Memang tidak dinafikan JDT adalah pasukan yang hebat dan 99%  pasukan yang datang ke sini sukar untuk memungut mata. Pasukan saya tidak dapat mengawal emosi kerana mahu mencari kemenangan di mana ia tidak sepatutnya berlaku.
“Setakat ini selepas lima perlawanan, terutamanya dengan kesemua pemain import kami adalah pemain baru, jadi saya nampak bahagian serangan dan pertahanan bagaikan tidak stabil. Ini perlu kami atasi dalam tempoh dua minggu ini. Apa yang kami lalui sekarang memang sukar, tetapi bagi saya pemain saya perlu belajar untuk bangkit dari kekalahan ini.”
Abu Bakar Fadzim juga bersetuju dengan tindakan pengadil yang melayangkan kad merah kepada pemainnya, Ahmad Sukri Abdul Hamid pada minit ke-74 dan menyatakan pemainnya perlu belajar mengawal emosi mereka.
“Bagi saya, ianya satu tindakan yang tidak profesional dari pemain saya. Pengadil telah berlaku adil dan wajar dia melayangkan kad merah. Saya juga tidak menyokong tindakannya. Mereka perlu tahu JDT berada di tahap yang berbeza dan dia tidak boleh bereaksi sebegitu. Akibatnya pasukan yang dihukum kerana bermain kurang satu pemain di mana ianya tugas sukar apabila berdepan pasukan seperti JDT. Pemain saya perlu belajar bagaimana untuk bereaksi ketika pasukan sedang ketinggalan.”
Selepas ini, Liga Super akan berehat sebentar bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa dan seterusnya PKNP akan menerima kunjungan Kuala Lumpur pada 31 Mac nanti.
Kredit foto: Malaysia Football League (MFL)

Ulasan