Baru-baru ini penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dikejutkan oleh satu berita dari pengurusan kelab JDT. Kemasukan semula pemain yang pernah menjadi hero JDT ketika Piala AFC 2015 dahulu, Leandro Velazquez telah menjadi bahan bualan netizen.
Berita JDT menandatangani Leandro Velazquez itu diumumkan sejurus selepas pengumuman JDT melepaskan atau menamatkan kontrak pemain Sepanyol, Aaron Niguez. Aaron yang hanya sempat menyumbang tenaga dalam 3 perlawanan awal JDT dilepaskan dan digantikan dengan Leandro.
Leandro pernah bermain untuk JDT II sebelum diserapkan dalam pasukan utama JDT dalam menghadapi saingan Piala AFC 2015. Pada tahun itu JDT telah melayakkan diri ke perlawanan akhir dan jaringan tunggal perlawanan itu oleh Leandro telah berjaya menjulang nama JDT menjuarai Piala AFC buat julung kalinya.
Rekod pencapaian itu bukan sahaja berjaya dicipta oleh pasukan dari Malaysia, malahan menjadi pasukan pertama Asia Tenggara menjuarai kejuaraan kelas kedua Asia.
Langkah pengurusan JDT mungkin dianggap jalan terbaik ketika skuad JDT kelihatan kurang menyengat di posisi tengah yang seakan-akan tidak bermaya pada tiga aksi saingan liga.
Mampukah kehadiran semula Leandro Velazquez menguatkan semula dalam mengharungi kancah Liga Super dan juga saingan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Leandro dijangka akan membuat penampilan pertama malam ini menentang Melaka United di Stadium Larkin.
Menarik perlawanan malam ini adalah pertembungan Velazquez dengan Safiq Rahim. Kedua-dua pemain itu pernah beraksi bersama dan membantu JDT menjulang kejuaraan Piala AFC pada musim 2015 namun kini akan `bermusuhan’.
Leandro meninggalkan JDT setelah kontraknya bersama JDT ditamatkan pada 2015. Bekas pemain Bawah 20 tahun Argentina itu kembali ke negara asalnya dan menyertai kelab Deportivo Pasto berpengkalan di Columbia selama dua musim pada 2016 dan 2017.
Sebelum berpindah ke JDT, Leandro ke Mexico bagi menyertai kelab Tiburones Rojos de Veracruz.
Menurut Berita Harian, Aaron Niguez dikatakan kurang berkesan dalam tiga perlawanan diharungi. Aaron meninggalkan JDT tanpa sebarang gol.
Bagaimanapun, perubahan yang dilakukan oleh JDT, dilihat sebagai rombakan untuk menguatkan semula pasukan itu. Ujian pertama Keandro adalah pada pertembungan menentang Melaka United yang juga menjadi perhatian penyokong JDT sama ada tindakan itu wajar atau sebaliknya.
Seperkara lagi, Natxo Insa masih belum ada kepastian lagi sama ada dapat diturunkan malam ini atau tidak selepas mengalami kecederaan ketika perlawanan merebut Piala Sumbangsih 2019 menentang Perak. Perlawanan baru sahaja berusia 36 minit, Natxo Insa sudah tidak dapat meneruskan lagi perlawanan.
Ulasan
Catat Ulasan