Trofi Sumbangsih kekal di Larkin


JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan kejuaraan aksi Sumbangsih selepas menewaskan Perak 1-0 pada aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Ia adalah kali keempat JDT merangkul trofi berkenaan dan turut mengutip tiga mata di laman sendiri untuk saingan Liga Super.
Serangan bertali arus skuad Harimau Selatan sebaik perlawanan bermula hampir menjelmakan jaringan pada minit ketujuh namun bola rembatan Safawi Rasid dari luar kotak penalti sempat ditepis keluar penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul.

Pasukan JDT menjuarai Piala Sumbangsih 2019 selepas menewaskan pasukan Perak 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Safawi sekali lagi mengundang cemas di gawang pelawat selang tiga minit kemudian namun tindakan pantas Hafizul Hakim yang sempat merebahkan badan menampan bola untuk mengelak pintu gol dibolosi.
Anak didik Mehmet Durakovic yang sering diasak barisan serangan tuan rumah cuba memperlahankan permainan bagi mengganggu kerakusan gandingan Gonzalo Cabrera, Aaron Niguez, Syafiq Ahmad dan Safawi yang sentiasa membuat Zac Anderson dan Shahrul Saad bertungkus lumus menghalang gerakan berbahaya.

Pemain JDT, Syafiq Ahmad (28) diasak pemain Perak, Shahrul Mohd Saad (3) ketika perlawanan Piala Sumbangsih 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin


Pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid (10) diasak pemain Perak, Nazirul Naim Che Hashim (21) ketika perlawanan Piala Sumbangsih 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Malang buat JDT selepas kehilangan Natxo Insa pada minit ke-31 akibat kecederaan dan terpaksa digantikan dengan Afiq Fazail yang dimasukkan bergandingan bersama kapten Hariss Harun dan Niguez.
Ketika aksi babak pertama berbaki lima minit, gol yang dinanti tuan rumah terhasil selepas Niguez yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti mengumpan bola kepada Cabrera yang melencong bola tepat ke penjuru kiri menewaskan Hafizul Hakim.
Bersambung babak kedua, pelawat mula menyusun rentak permainan memburu gol penyamaan namun ketiadaan Gilmar Da Silva Filho amat dirasai apabila barisan serangan skuad kendalian Durakovic hanya bergantung kepada Wander Luiz yang gagal melakukan percubaan berbahaya.

Ulasan