PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak skuad Harimau Selatan mendapat ‘ihsan’ daripada pengadil Liga Malaysia (Liga M).
Dakwaan itu dipercayai timbul selepas juara Liga Super lima kali berturut-turut itu mendapat empat sepakan penalti dalam empat perlawanan awal liga musim ini.
Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) membuat penafian itu dalam kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers sebagai mengulas laporan akhbar hari ini mengenai beberapa tuduhan atau dakwaan dilemparkan terhadap skuad Harimau Selatan.
Selain sering kali didakwa mendapat ‘bantuan’ pengadil apabila diberikan sepakan penalti, netizen atau warganet di alam maya mula menggelar ‘Jenalti’ merujuk kepada perkara itu.
Melaka United muncul pasukan kedua paling banyak menerima penalti musim ini dengan dua sepakan penalti manakala empat pasukan - Selangor, FELDA United, Perak dan PJ City - masing-masing menerima satu sepakan penalti setakat ini.
Menerusi kenyataan sama, TMJ turut mengakui salah satu daripada sepakan penalti ketika berdepan Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super, 15 Februari lalu tidak sepatutnya diberikan kepada skuad Harimau Selatan.
“Saya akui salah satu sepakan penalti sewaktu menentang Terengganu mungkin dilabelkan ‘soft’. Tapi mereka yang memahami peraturan bola sepak akan bersetuju untuk sepakan penalti yang lain, sememangnya ia perlu diberikan kepada JDT,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan