TUNKU ISMAIL
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Gara-gara terlalu memberi tekanan kepada barisan pemain dan kejurulatihan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam empat aksi Liga Super telah membuatkan pemilik kelab tersebut Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara terbuka memohon maaf.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata kerana ingin melihat pasukannya itu menyerlah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) telah mendorong beliau untuk mengerah pemain dan barisan jurulatih bekerja kuat sebelum menyedari mereka juga adalah manusia dan bukannya robot.
“Masalah terbesar dalam JDT adalah, saya! Setiap tahun saya meletakkan banyak tekanan kepada pemain dan jurulatih. Kesalahan saya kerana tidak menyedari dan terlupa yang anda hanyalah manusia. Manusia tidak pernah sempurna.
“Kami mempunyai hari yang tidak bagus, kami mempunyai kelemahan dan kami mempunyai emosi.
“Kami bukanlah robot. Kepada pemain dan staf saya, maafkan saya,” katanya yang dipetik daripada Facebook Johor Southern Tigers (JST) di sini hari ini.
Skuad kendalian Luciano Figueroa itu memulakan kempen liga dengan menewaskan Perak 1-0 dan kemudiannya membelasah Kuala Lumpur 4-1 sebelum terikat 2-2 ketika bertemu Terengganu dan terbaharu mereka menundukkan Melaka United 2-1.
Begitu pun, juara Liga Super lima kali berturut-turut itu menduduki tempat kedua berkongsi 10 mata dengan Kedah selepas dipisahkan dengan perbezaan jaringan. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan