TMJ Ikrar Angkat JDT Ke Satu Tahap Yang Lebih Tinggi - Johor Sana Sini

TMJ Ikrar Angkat JDT Ke Satu Tahap Yang Lebih Tinggi - Johor Sana Sini
TMJ Ikrar Angkat JDT Ke Satu Tahap Yang Lebih Tinggi

Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menarik perhatian penyokong skuad Harimau Selatan melalui Facebook JOHOR Southern Tigers (JST) hari ini dengan ikrar untuk menaikkan dan mengangkat JDT ke satu tahap yang lebih baik lagi.


Itulah luahan hati TMJ dan keghairahan baginda untuk melihat JDT menjadi sebuah pasukan yang hebat sejak mengambil alih kelab pada 2013.
JST turut berkongsi pengorbanan yang telah dilakukan TMJ daripada segi masa, tenaga dan wang ringgit sebelum berjaya meletakkan pasukan itu sehebat hari ini.
“Adakala Tunku Ismail terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga apabila terlalu banyak masa diluangkan bersama keluarga JDT.
“Telah menjadi rutin seharian, apabila selesai sahaja menunaikan solat subuh Tunku Mahkota Johor akan terus memikirkan dan merencanakan perjalanan JDT.

“Pusat latihan tertutup Padang Seri Gelam pula umpama taman reakrasi istimewa bagi anakanda baginda apabila sering dibawa melihat latihan yang telah dijalankan,” tulis JST.
“Begitu juga apa yang berlaku di waktu malam, Tunku Ismail akan meneliti dan melihat kembali perlawanan-perlawanan yang melibatkan Harimau Selatan.
Di Malaysia, penajaan dalam pasukan atau kelab bola sepak menjadi perkara utama.

Kebanyakan pasukan atau kelab tempatan menjadikan ia salah satu talian hayat untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam liga domestik, namun berbeza dengan JDT.
Memang benar, penajaan itu elemen penting namun JDT tidak terlalu bergantung kepada penaja, malah Tunku Ismail sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri tanpa berkira mengenai berapa banyak wang ringgit yang perlu dilaburkan.
“Kadang-kadang saya terpaksa meminjam wang daripada baginda Sultan untuk JDT (ketawa),” kata Tunku Ismail.
Menurut JST lagi, menjadi pemilik kepada kelab yang telah mencatat sejarah gemilang di tanah air bukannya sesuatu yang mudah.
Tunku Ismail perlu berdepan dengan kecaman, fitnah dan kata-kata nista setiap hari daripada golongan yang mencemburui kejayaan Harimau Selatan.
Ia bagaikan hidangan makanan yang menjadi santapan wajib setiap hari.
“Saya akan mengangkat JDT ke satu tahap yang lebih tinggi, itulah ikrar saya,” kata TMJ tenang biarpun dikelilingi orang-orang yang mencemburuinya.
Baginda terpaksa berkorban status, masa, wang ringgit serta perasaan demi membina sebuah empayar yang gah ini.
Ikuti luahan hati baginda DYAM TMJ melalui Johor Southern Tigers.
Foto Kredit : The Photoshooterz

Ulasan