Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim semalam memberi bayangan kemungkinan akan meninggalkan kelab kesayangannya itu berdasarkan paparan dalam laman instagram miliknya.
Baginda yang mengambil alih kelab Harimau Selatan pada tahun 2013 itu seakan meluahkan kekecewaannya walaupun JDT sudah mencipta pelbagai kejayaan yang luar biasa dengan memenangi 16 piala melibatkan empat piala belia, 12 piala bersama pasukan itu termasuk Piala AFC.
Menurut paparan yang dimuat naik di laman instagramnya, tahun ini mungkin merupakan tahun terakhir baginda bersama JDT dan mengucapkan selamat tinggal kepada para penyokong dengan lambaian tangan.
“Tak ramai yang sedar. Semua sibuk cakap pasal (Mario) Gomez, Safiq Rahim, (Jorge Pereyra) Diaz, Aaron (Niguez). Tapi mereka lupa siapa lahirkan kelab ini dan siapa yang rekrut mereka semua ini.
“Pemain dan jurulatih keluar masuk namun tetap menang 16 piala, termasuk empat piala belia, 12 piala pasukan senior. Tiba masanya mereka akan sedar.
“Sama macam Real Madrid, semua ingat CR7 (Cristiano Ronaldo). Tapi semua tak hargai Florentino Perez. Kalau tiada dia, tiada Galacticos, tiada semua pemain yang dia rekrut dan tiada semua piala yang dimenangi akhir akhir ini.
“Secara jujur ini mungkin tahun terakhir saya, cukuplah setakat ini, terima kasih,” tulisnya di Instagram hrhcrownprinceofjohor.
Bagaimanapun paparan tersebut tidak kelihatan dan sudah dipadam selepas beberapa jam ia dimuat naik.
Selain itu, laman facebook rasmi JOHOR Southern Tigers (JST) cuba memberikan sokongan dengan mengeluarkan kenyataan mengenai pengorbanan yang telah dilakukan oleh TMJ dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.
Apapun yang berlaku, JDT pada hari ini tetap dikenali sebagai sebuah kelab bola sepak yang hebat di Malaysia dan merupakan satu-satunya wakil negara yang bertanding dalam saingan kelab kelas tertinggi di Asia, AFC Champions League (ACL).
Mereka akan bertemu kelab gergasi Jepun, Kashima Antlers pada perlawanan pertama ACL pada hari selasa ini. SemuanyaBOLA ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad Harimau Selatan dan mengharumkan nama Liga Malaysia di peringkat Asia.
Ulasan
Catat Ulasan