TIGA PASUKAN TERATAS, PAHANG, JDT, MELAKA KUASAI LIGA SUPER 2019 ?

Tiga Pasukan Teratas, Pahang, JDT, Melaka Kuasai Liga Super 2019 ?

Juara Liga Super lima kali, JDT, dan juara Piala FA 2018, Pahang menjadi tumpuan awal musim Liga Super 2019. 
Dua pasukan gergasi bola sepak tanah air itu menguasai Liga Super untuk dua perlawanan awal. Disamping itu satu lagi pasukan telah membuat kejutan mengikut dua jaguh bola sepak negara iaitu pasukan Melaka United.
Ketiga-tiga pasukan itu mengorak langkah awal apabila mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam dua perlawanan awal musim dengan Pahang paling cemerlang dengan enam jaringan, diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) lima gol dan Melaka United tiga gol.
Pahang menerima kembali kemasukan Dickson Nwakaeme pada musim ini. Kembalinya beliau di bahagian jentera serangan Pahang tampak memberikan nafas baru kepada juara Piala FA musim lalu.
Nwakaeme telah mencetak tiga gol sambil diikuti oleh Cabrera dari JDT dengan dua gol.
Atas kertas, dua pasukan ini wajar dilabel pasukan pilihan untuk bergelar juara sementara pasukan gergasi lain seperti Selangor, Perak, Terengganu dan Kedah bolehlah dianggap sebagai pengacau jika mampu mengekalkan prestasi sehingga penghujung musim.
Menurut Astro Arena, skuad bimbingan bekas pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan, Melaka United bermula dengan agak baik dengan dua kemenangan untuk meraih enam mata penuh. 
Pasukan Melaka United patut diberi tumpuan dan tidak wajar diketepikan kerana pasukan ini dibarisi ramai pemain senior, antaranya Shukor Adan, Safiq Rahim, Khairul Fahmi Che Mat dan Liridon Krasniqi. Mereka mampu mengecewakan mana-mana pasukan pada hari terbaik mereka.
Selangor, yang sedang membentuk satu pasukan yang boleh menggoncang Liga Malaysia, bermula sedikit goyah apabila sekadar seri ketika pertemuan dengan Felda United dan PJ City minggu lalu.
Pasukan bimbingan B. Sathianathan itu bukan sekadar bergelut, malah memerlukan gol minit akhir perlawanan untuk mencuri satu mata dalam perlawanan di Stadium MBPJ, Sabtu lalu.
Sathia pastinya akan lebih tertekan seandainya Selangor gagal mencari tiga mata penuh dalam perlawanan berikutnya menentang PKNS di Shah Alam, Ahad ini.
Perak dilihat aksi yang kurang bermaya selepas dua perlawanan awal Liga Super.
Tiada percubaan tepat ketika berdepan JDT dan aksi hambar ketika beraksi di Ipoh berdepan Kedah merupakan satu peringatan buat Mehmet Durakovic supaya memperkemaskan strategi andai ingin menjadi pencabar utama musim ini.
Perak, juara Piala Malaysia 2018, dipalit isu tunggakan bonus baru-baru ini.
Bagaimana pun, perlawanan Liga Super minggu ini dijangka berlangsung dengan sengit dengan dua perlawanan utama bagi menentukan kedudukan tiga pasukan teratas sama ada mampu menduduki tangga teratas atau tidak. 
Dua perlawanan itu adalah antara Terengganu FC menentang JDT dan Melaka melawan Pahang. Pahang, JDT dan Melaka United masing-masing mengutip 6 mata cuma perbezaan gol yang membezakan mereka.
Terengganu tidak akan membiarkan JDT menguasai perlawanan apa tah lagi memenangi perlawanan tersebut. Mereka tidak mampu lagi untuk tewas atau seri kerana mereka baru sekadar mengutip 1 mata dan berkedudukan 2 terbawah carta liga.
Situasi tersebut membuatkan mereka tertekan untuk menang di hadapan penyokong mereka sendiri. Namun berdepan dengan JDT, jurulatih TFC, Irfan Bakti kebiasaannya sudah tahu bagaimana membuat percaturannya sendiri.
Satu lagi perlawanan Melaka bertemu Pahang dijangka hebat di Stadium Hang Jebat. Melaka boleh mengejutkan Pahang kerana barisan Melaka dilihat agak mantap musim ini yang dibarisi penain seperti Liridon dan Safiq Rahim.

Ulasan