“Perjalanan Liga Super masih jauh lagi.” kata Irfan Bakti, Jurulatih Terengganu FC. Itulah ungkapan yang diluahkan oleh ketua jurulatih TFC.
Terengganu FC akan bertemu JDT pada Jumaat, 15 Februari ini di Kuala Terengganu. Irfan bagaimana pun tidak merasa panik biarpun skuadnya sekadar mengutip satu mata daripada dua perlawanan Liga Super setakat ini.
Semalam, TFC tewas 0-3 di tangan Pahang di Stadium Darul Makmur dalam perlawanan kedua Liga Super 2019. Sebelum ini pada 01 Februari lepas, Terengganu hanya mampu seri dengan PKNS FC 1-1 di laman sendiri. TFC masih belum merekodkan sebarang kemenangan sehingga dua perlawanan Liga Super musim ini.
Beliau menyatakan tidak panik dan kekalahan 3-0 di tangan Pahang malam tadi juga tidak menggambarkan prestasi sebenar skuad Penyu itu. Terengganu merupakan naib juara Piala Malaysia musim lalu.
“Kelemahan yang ada akan diperbaiki sebagai persediaan pada perlawanan akan datang,” kata Irfan seperti yang dilaporkan oleh akhbar Berita Harian hari ini.
“Namun saya akui semua pemain perlu bangkit pada perlawanan ketiga bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sendiri selepas ini.
“Bagi saya, kami tewas kepada pasukan yang terbaik dalam saingan liga dan kita berusaha untuk memberi tekanan tetapi gagal menyekat asakan.”
Irfan turut akui bahawa aksi bertahan yang dipersembahkan anak buahnya terutama pada separuh masa pertama ternyata memakan diri sendiri.
Dalam masa yang sama sama, Irfan berkata skuad kendaliannya tiada peluang untuk memasuki kawasan Pahang dan kesempatan itu dilakukan sebaiknya oleh Pahang apabila berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-12.
“Pemain bermain terlampau bertahan. Ia menyebabkan saya melakukan perubahan pada babak kedua tetapi kami gagal untuk mendapatkan jaringan.
Irfan turut akui Dickson Nwakaeme memainkan peranan utama buat Pahang terutama ketajaman di bahagian serangan yang menyebabkan kami tewas.
“Pada masa sama, prestasi kurang mantap yang dipersembahkan Tchetche Kipre juga antara faktor di mana dia memiliki dua peluang merobek gawang lawan,” katanya.
Sementara itu JDT menang selesa terhadap Kuala Lumpur apabila membenam Kuala Lumpur dengan 4-1 hasil jaringan Gonzalo Cabrera, Syafiq Ahmad, Diogo Santo dan Azrif Nasrulhaq. Kemenangan dua perlawanan berturut-turut Liga Super 2019 melegakan JDT dan sudah tentu turun di Kuala Terengganu tanpa sebarang tekanan.
JDT dijangka mengekalkan barisan utama mereka sama seperti ketika menentang Kuala Lumpur sebelum ini. Perlawanan Jumaat ini nanti merupakan perlawanan pertama JDT di tempat lawan. Dua perlawanan sebelum ini semuanya berlangsung di Stadium Larkin.
Setakat ini hanya 3 pasukan yang masih mengekalkan rekod bersih kemenangan kedua-dua perlawanan iaitu JDT, Pahang dan Melaka United.
Pahang pula akan bertemu Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Sabtu, 16 Februari 2019, sehari selepas perlawanan JDT. Kita akan dapat melihat kedudukan ketiga-tiga pasukan ini sama ada akan berubah atau kekal sama.
Ulasan
Catat Ulasan