Terengganu patut menang: TMJ



Pemilik JDT Tunku Ismail Sultan sendiri turut memperkatakan tentang insiden berkenaan di laman Facebook rasmi kelab berkenaan, Johor Southern Tigers. - Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR: Keputusan seri menentang Terengganu FC (TFC) bukan penamat kepada misi kejuaraan keenam Liga Super buat Johor Darul Ta’zim (JDT), malah mereka sebenarnya berada di landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan seperti yang dilakukan pada tahun 2016.
Tujuh mata daripada tiga perlawanan pertama liga menyamai pencapaian terbaik tiga tahun lalu di mana selepas seri 1-1 dengan Selangor pada perlawanan pembukaan, JDT bangkit menamatkan musim tanpa kekalahan.
Rekod sebelum ini menyaksikan JDT sekadar mengutip empat mata pada permulaan musim 2013 sebelum merakam pencapaian sama pada musim 2014 namun permulaan perlahan itu tidak menyekat mereka daripada menjuarai Liga Super buat kali pertama.
Empat mata juga dipungut pasukan itu dalam tiga perlawanan bagi musim 2015 namun mereka mencipta sejarah dengan menjuarai Piala AFC dan merangkul kejuaraan liga buat kali kedua.
Mereka kemudiannya memperbaiki pencapaian pada tahun 2017 dengan meraih lima mata sebelum menghimpun enam mata pada tahun berikutnya.
Bagaimanapun banyak yang boleh diperkatakan tentang persembahan JDT yang bangkit mengikat Terengganu 2-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Jumaat lalu.
Antaranya berkenaan sepakan penalti kedua yang disempurnakan Safawi Rasid untuk memadamkan jaringan awal Terengganu menerusi Khairul Izuan Rosli, serta kekasaran pemain JDT Aidil Zafuan Abd Radzak ke atas Tchetche Kipre di dalam kotak penalti tetapi tidak diberikan sepakan penalti.
Pemilik JDT Tunku Ismail Sultan sendiri turut memperkatakan tentang insiden berkenaan di laman Facebook rasmi kelab berkenaan, Johor Southern Tigers.
“Bagi saya pemenang semalam (kelmarin) adalah Terengganu. Sepakan penalti kedua yang diberikan kepada kami mungkin bukan penalti manakala terjahan dari belakang oleh Aidil ke atas penyerang Terengganu tersebut memang sepatutnya diberikan penalti,” kata Tunku Ismail.
“Saya tidak pernah melihat Terengganu beraksi sebaik itu, tidak sewaktu menentang PKNS dan tentunya tidak sebegitu ketika menentang Pahang. Pemain JDT perlu bersedia dan perlu memahami bahawa setiap pasukan akan beraksi biasa-biasa sahaja antara satu sama lain tetapi sebaliknya ketika menentang kami, di mana mereka akan memberikan 200% seolah-olah ia adalah perlawanan akhir.
“Kita mesti faham dan terima hakikat bahawa kita menentang semua orang dan semua orang menentang kita, untuk cuba menghentikan dominasi kita. Jika pemain JDT tidak bersedia dari segi psikologi untuk memahami fakta ini, kami akan menghadapi masalah. Saya yakin pasukan akan menunjukkan peningkatan.”
Pada masa sama Tunku Ismail turut meminta penyokong JDT bertenang dan tidak mencari salah sesiapa apabila pasukan tidak berjaya membawa pulang tiga mata pada setiap perlawanan.
“Kita belum kalah, kita masih tidak kalah, jangan kerana hanya mendapat satu mata, kita mula menggelabah resah gelisah, sebaliknya perlawanan menentang Si Penyu ini kita anggap sebagai jam randik untuk kesedaran, pemain dan jurulatih harus akur segala pandangan, manakala penyokong berlapang dada terima segala keputusan, segala teguran sama-sama kita jadikan sebagai pedoman,” katanya.

Ulasan