Tchetche akui lapar gol



PENGARAH Urusan GLE Centre Enterprise, Mohd Zulkifli Harun (dua kiri) bersama Irfan (kiri) menyampaikan kopi Super Jantan kepada Tchetche selepas sesi latihan di Padang Kompleks Sukan Gong Badak. - Foto Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Musim lalu, Kipre Tchetche selaku pemain termahal Terengganu FC (TFC), muncul penjaring terbanyak pasukannya selepas meledak 24 gol sepanjang Liga Malaysia (Liga-M) termasuk Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super.
Namun selepas dua perlawanan musim ini, kapten kelahiran Ivory Coast yang digelar `Drogba Ganu’ itu mengakui dia bagaikan 'harimau lapar' yang begitu laparkan jaringan selain berasa bersalah kerana masih gagal meledak sebarang jaringan setakat ini.
“Ya saya begitu teringin untuk menjaringkan gol pertama musim ini, saya juga sudah berusaha keras melakukannya ketika harapan yang tinggi disandarkan kepada saya oleh kem pasukan dan juga peminat setia.
“Namun saya akui sebenarnya  sukar untuk melakukannya (jaring gol) lebih-lebih lagi pasukan lawan pasti berhati-hati dan lebih bersedia setiap kali bertemu TFC dengan status finalis Piala Malaysia musim lalu.
“Bagaimanapun saya tetap yakin masanya pasti akan tiba, yang penting saya perlu gandakan usaha untuk menemui sasaran gol itu selain kerjasama daripada rakan sepasukan,” kata Tchetche ketika ditemui  pada program penaja GLE Centre Enterprise iaitu pengeluar kopi jenama Super Jantan bersama pemain di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, kelmarin. 
Ditanya mengenai prestasi pasukannya yang kini masih bergelut mencari rentak selepas sekadar seri dengan PKNS FC 1-1 dan tewas 0-3 kepada Pahang, bekas pemain terbaik kelab Al-Suwaiq Liga Oman itu mengakui mesin gol pasukannya ‘belum panas’ lagi.
“Kami dah buat persiapan yang terbaik termasuk aksi pra-musim, namun masih belum menjadi, tapi itulah bola sepak, namun saya harap peminat terus memberikan sokongan kerana liga baharu bermula dan masih banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi.
“Tapi apa yang penting kami perlu bangkit dan lupakan kekalahan bertemu Pahang tempoh hari kerana kami mahu fokus bertemu JDT bagi mengulangi kejayaan menumpaskan pasukan itu walaupun diakui skuad itu liat untuk ditewaskan," katanya.

Ulasan